KUALA LUMPUR, 16 OKTOBER 2024 – Bank Rakyat berjaya menerbitkan Sukuk Kelestarian sulungnya berjumlah RM500 juta selaras dengan komitmen teguh terhadap agenda kelestarian. Rangka Kerja Sukuk Kelestarian Bank Rakyat baru-baru ini diiktiraf dengan Penilaian Impak ‘Emas’ oleh MARC Ratings Berhad dan terbitan ini telah dilaksanakan melalui syarikat tujuan khas (SPV) Imtiaz Sukuk II Berhad.
Penawaran ini dilaksanakan melalui proses penetapan harga secara kompetitif pada 1 Oktober 2024 di bawah Program Sukuk Wakalah Senior dengan had penerbitan keseluruhan sebanyak RM10 bilion yang diberikan penarafan AA2 oleh RAM Rating Services Berhad.
Penerbitan sulung bagi Sukuk Kelestarian ini merangkumi dua bahagian iaitu RM150 juta untuk tempoh lima tahun dan RM350 juta untuk tempoh tujuh tahun. Penerbitan Sukuk Kelestarian tersebut menerima permintaan yang tinggi, terbukti dengan lebihan langganan sebanyak 5.00 kali dan ditutup pada 3.53 kali daripada jumlah terbitan sebenar dan sekali gus mencerminkan keyakinan kukuh pihak pelabur terhadap inisiatif pembiayaan lestari Bank Rakyat.
Penerbitan Sukuk Kelestarian ini mendapat sambutan baik daripada pelbagai segmen pelabur dan telah diagihkan dalam kalangan institusi kewangan tempatan, agensi kerajaan, pengurus aset dan syarikat insurans yang mana menonjolkan daya tarikan bagi peluang pelaburan yang memfokuskan kepada kelestarian.
Hasil daripada penerbitan ini akan disalurkan untuk membiayai perniagaan dan projek yang secara langsung menyokong lapan daripada 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Komitmen ini bukan sahaja menyokong objektif Bank Rakyat sebagai institusi kewangan yang bertanggungjawab, tetapi juga menekankan dedikasi untuk meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi masyarakat serta menyokong kelestarian alam sekitar.
Bank Rakyat merakamkan penghargaan kepada semua pelabur atas sokongan luar biasa terhadap penerbitan Sukuk Kelestarian ini yang mencerminkan keyakinan terhadap asas kewangan Bank. Penerbitan ini juga menjadi bukti pendekatan inovatif Bank Rakyat dalam sektor kewangan Islam sekali gus mengukuhkan peranannya dalam memajukan inisiatif pembiayaan yang berfokus kepada SDG.
Maybank Investment Bank Berhad berkhidmat sebagai penasihat tunggal dan pengatur utama untuk Program Sukuk Wakalah. Maybank Investment Bank Berhad juga bertindak sebagai salah satu pengurus utama bersama untuk transaksi ini bersama Bank Muamalat Malaysia Berhad, CIMB Investment Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad.