MUAR: “Hanya Allah S.W.T sahaja mampu membalas jasa semua” Itu merupakan kata-kata seorang balu, Jainah Kasmi, yang tidak putus-putus mengucapkan syukur selepas kediamannya di Kampung Ayer Hitam, di sini terpilih untuk dinaiktaraf kepada sebuah rumah baru oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF) menerusi Program Jiwa Murni (PJM).
Hanya lafaz syukur dan terima kasih sahaja yang mampu diucapkan oleh wanita berusia 71 tahun ini kerana dia tidak pernah menyangka akan menerima ‘rezeki terpijak’ itu selepas menerima panggilan daripada MINDEF yang mengatakan dia antara individu terpilih menerima bantuan tersebut.
“Saya ada terfikir untuk meminta anak-anak agar membina kediaman baru, namun siapa sangka datangnya tawaran yang diberikan Kementerian Pertahanan untuk membina rumah ini yang kebetulan bersebelahan dengan rumah yang saya duduki ketika ini,”
Katanya lagi, sebelum ini kediamannya memang mempunyai pelbagai masalah memandangkan sudah berusia lebih 40 tahun.
“Rumah ini apabila hujan lebat akan bocor dan dimasuki air, tiang juga sudah tidak kukuh selain sebahagian kayu-kayunya sudah dimakan anai-anai malahan ada sebahagian atapnya yang hampir tercabut dan diterbangkan angin”.
Jainah turut menyatakan, bukan sahaja kerja-kerja yang dilakukan oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini berkualiti tinggi malah proses menaiktaraf projek ini juga cukup pantas.
Tambahnya, dengan usianya yang telah lanjut, tiada apa yang dimahukan melainkan sebuah kediaman yang selesa dan selamat untuk didiami.
“Terima kasih Kementerian Pertahanan dan anak-anak askar, yang makcik anggap seperti anak sendiri kerana sudi membina sebuah rumah baru buat makcik”.
Dalam pada itu, penyelia projek bina baru (Muar), Staf Sarjan Mohd Kamal Abdul Rahman, dari Skuadron Kelapan Rejimen Askar Jurutera DiRaja, Kem Mahkota, Kluang, Johor berkata projek ini telah dimulakan seawal September lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung November ini.
Tambahnya lagi, projek yang kini telah siap sebanyak 70 peratus itu menggunakan kekuatan 14 orang anggota yang terdiri daripada 10 anggota dari skuadron ini sambil dibantu oleh lima anggota Rejimen Renjer Diraja.
Menurutnya, skop kerja projek bina baru rumah ini melibatkan pembinaan sebuah ruang tamu, tiga bilik tidur, dua bilik air serta pendawaian letrik dan sistem perpaipan yang lengkap.
“Sebelum ini, kami ada datang dan tinjau kediaman ini, namun keadaannya terlalu uzur dan kami memohon untuk bina baru”, katanya yang memaklumkan keadaan rumah papan yang didiami wanita itu sudah tidak selamat untuk dihuni.
Bagaimanapun, Kamal akui, bukan mudah untuk melaksanakan projek ini, memandangkan kawasan tanahnya yang lembab dan juga keadaan cuaca yang tidak menentu.
Katanya lagi, Projek Jiwa Murni ini dilihat berjaya dalam membantu golongan yang memerlukan selain ia dapat mendekatkan pihak ATM dengan masyarakat setempat.