Bakar Tandas Sehingga Jadi Punca Rakan Maut, 2 Remaja Dihukum Cuci Tandas 100 Jam

0
174

Kuala Selangor: Mahkamah Majistret, di sini, hari ini memerintahkan dua remaja lelaki mencuci tandas selama 100 jam selepas mengaku salah membakar tandas awam sehingga menyebabkan kematian rakan mereka pada tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh masing-masing berusia 16 tahun dijatuhi hukuman bersifat khidmat masyarakat itu selepas mereka membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.

Mahkamah turut mengenakan bon berkelakuan baik sebanyak RM1,000 untuk setiap seorang selama dua tahun, selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dalam tempoh sama.

“Kamu tidak boleh keluar rumah sendirian bermula 8 malam hingga 6 pagi kecuali ditemani ibu bapa masing-masing selain kena hadir bengkel yang dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan khianat dengan api dan menyebabkan kebinasaan kepada tandas awam gelanggang futsal, Jalan Cakera Purnama, Bandar Puncak Alam Fasa 3, di sini, kira-kira 2.47 petang pada 28 Ogos tahun lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Pada prosiding sama, JKM turut mengemukakan laporan akhlak kedua-dua tertuduh selain mengemukakan dua syor termasuk berkelakuan baik.

Dua penasihat awam termasuk seorang guru yang memberikan penyataan dalam galeri mahkamah turut menegur perbuatan kedua-dua remaja lelaki itu kerana merosakkan harta awam.

“Ini juga memberikan kesan kepada keluarga mangsa. (Kedua-duanya) perlu muhasabah diri,”katanya.

Sebelum ini, media melaporkan tindakan dua remaja bermain api mengundang padah apabila seorang rakan mereka maut selepas terperangkap di dalam tandas awam di Bandar Puncak Alam Fasa 3 pada 28 Ogos tahun lalu.

Mangsa, Muhammad Damin Mikhail Kamsol yang berusia 16 tahun ditemukan rentung selepas kebakaran tandas itu dipadamkan pihak bomba.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here