Bakar Anak Kucing Hidup Hidup, Remaja Lelaki 13 Tahun Ditahan

0
72
Foto: Berita Harian

KAJANG: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan membakar anak kucing hidup-hidup di sebuah pangsapuri di sini, minggu lalu.

Pesalah juvana itu membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz.

Mengikut pertuduhan, anak tunggal itu didakwa bersama-sama dua lagi yang masih bebas secara kejam menyebabkan kesakitan kepada seekor kucing dengan membakar haiwan itu di kawasan parkir sebuah blok di Pangsapuri Taman Sri Kenari di sini pada jam 1.08 tengah hari 22 April lalu.

Susulan itu, tertuduh didakwa mengikut 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh didenda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Afiqah Abdul Ghaffar memohon jaminan RM10,000 berikutan kesalahan itu membabitkan penganiayaan haiwan dan berkepentingan awam.

Bagaimanapun, ibu kepada pesalah juvana itu berusia 30 tahun dalam rayuannya memohon ikat jamin dikurangkan berikutan hanya berpendapatan RM1,500 sebulan sebagai pekerja kilang di sebuah syarikat elektronik dan berstatus ibu tunggal.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Nik Siti Norazlini membenarkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Jun ini bagi mendapatkan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum menjatuhkan hukuman.

Sebelum ini, tular satu rakaman video berkaitan kejadian itu yang menunjukkan tiga lelaki sedang melepak di tapak parkir motosikal flat berkenaan dan dua daripada mereka kemudian menyimbah dipercayai bahan bakar ke atas anak kucing dianggarkan berusia enam minggu sebelum salah seorang daripadanya menyalakan api.

Berdasarkan rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi mendapati terdapat tiga lelaki yang terbabit dalam kejadian itu.

Perkara itu turut mendapat perhatian Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika yang mahu tindakan segera diambil pihak berkuasa atas kekejaman itu.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here