Azizulhasni Dikurniakan Darjah Kebesaran, Kini Bergelar Datuk Paduka

0
65
Foto: Berita Harian

Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang memperoleh suntikan semangat tambahan menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 apabila dikurnia pingat Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T).

Darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk itu diterimanya dalam satu majlis sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ke-62 yang berlangsung di Istana Syarqiyyah, semalam.

“Merafak sembah dan menjunjung kasih Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Sultan Negeri Terengganu Darul Iman di atas pengurniaan pingat Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T) sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-62 Hari Keputeraan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

“Pengurniaan ini akan patik jadikan sebagai tiupan semangat buat diri patik untuk berjuang di Sukan Olimpik Paris 2024 tidak lama lagi. Patik sungguh terharu di atas pengurniaan ini dan berasa sungguh bertuah menjadi anak jati negeri Terengganu Darul Iman.

“Patik sekalian juga mendoakan agar KDYMM Tuanku Sultan dan KDYMM Sultanah Terengganu sentiasa di bawah lindungan Allah SWT dan terus kekal bersemayam di atas singgahsana dengan penuh kebesaran, kemuliaan dan kedaulatan. Daulat Tuanku!” tulis Azizulhasni dalam hantaran di laman media sosialnya hari ini.

Azizulhasni sebelum ini turut dikurniakan darjah kebesaran sama ketika beliau sedang dalam persiapan akhir menggalas misi Malaysia memburu kilauan pingat emas sulung negara di Tokyo 2020 pada Julai 2021.

Di Tokyo 2020, Azizulhasni memperoleh pingat perak dalam acara keirin selepas tewas di tangan pelumba Great Britain, Jason Kenny.

Untuk rekod, penampilan Azizulhasni yang dikenali dengan julukan ‘The Pocket Rocketman’ di Paris 2024 nanti adalah yang kelima buat dirinya di Olimpik.

Sejak membuat penampilan sulung di pentas di London 2012, Azizulhasni sudah memperoleh dua kilauan pingat – perak di Tokyo 2020 dan gangsa di Rio 2016.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here