SEBELUM Sukan Olimpik Paris 2024 bermula lagi, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang memiliki keyakinan tinggi untuk melengkapkan kilauan pingat yang belum pernah digenggamnya pada temasya terbesar dunia itu iaitu pingat emas.
Berbekalkan reputasi selaku pemenang pingat gangsa di Olimpik Rio 2016 dan pingat perak di Olimpik Tokyo 2020 dalam acara keirin, pelumba berusia 36 tahun itu satu-satu harapan negara untuk membawa pulang pingat emas di Paris 2024.
Juara dunia keirin 2017 yang terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman itu bersedia memberikan sepenuh tenaga pada penampilan Olimpik kelima yang memulakan cabaran di Velodrom de Saint-Quentin-en-Yvelines yang bermula hari ini.
“Saya sangat teruja untuk memulakan pertandingan esok (hari ini) Olimpik kelima dan terakhir saya. Mewakili kontinjen Malaysia merupakan pengalaman paling tidak dapat dilupakan dalam kerjaya saya. Bangga untuk memberi buat kali terakhir,” katanya.
Selain Azizulhasni, cabaran skuad berbasikal trek negara turut akan digalas Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri.
Bagi Shah Firdaus, dia mengharapkan doa dari semua pihak dalam usaha merealisasikan impian mereka untuk melakukan kejutan di kota Paris.
“Semoga doa kalian mengiringi kami pada hari perlumbaan,” katanya yang membuat penampilan kedua di Sukan Olimpik.
Kedua-dua pelumba berbasikal negara itu dijangka berdepan tugas mencabar terutama dalam acara pecut apabila bakal ditentang hebat terutama juara dunia lima kali dari Belanda dan pemenang pingat emas Olimpik Tokyo, Harrie Lavreysen.
Selain itu, Azizulhasni dan Shah Firdaus bakal berdepan tentangan pemenang pingat perak Olimpik Tokyo, Jeffrey Hoogland yang juga dari Belanda.
Selain dua nama besar tersebut, Matthew Glaetzer (Australia), Jair Tjon En Fa (Suriname),Maximilian Doernbach dan Jack Carlin (Great Britain) serta Ota Kaiya (Jepun) juga dijangka menjadi tembok penghalang misi emas Azizulhasni.
Pada perlumbaan nanti, ketiga-tiga pelumba berbasikal negara itu dibekalkan basikal baharu versi Olimpik Paris 2024 iaitu Vorteq WX-R yang dibawa khas dari United Kingdom
(UK).
Sumber : Kosmo! Online