Azira Shafinaz Syukur, Lakonan Diterima Baik

0
232
Foto: Harian Metro

Impian pelakon dan penyanyi, Azira Shafinaz untuk membintangi filem yang mengangkat kisah kepolisan dan aksi menjadi kenyataan apabila ditawarkan memegang watak sebagai Asisten Superintendan (ASP) Shazlin menerusi filem Sheriff.

Biarpun karakter yang diberikan adalah percubaan pertamanya, namun lakonan Azira berjaya menimbulkan emosi luar biasa selain membuatkan penonton terkesima dengan lakonan mantap yang diberikannya.

Kata Azira, dia amat berterima kasih kepada pengarah filem itu iaitu Syafiq Yusof serta dua penerbit terkemuka, Skop Production Sdn Bhd dan Astro Shaw kerana mempercayai kebolehan serta kemampuannya.

“Ini adalah filem aksi dan kepolisan pertama saya. Sejujurnya selepas saya menonton keseluruhan filem ini saya amat berbangga dengan segala usaha yang saya berikan untuk filem ini.

“Filem ini adalah sebuah karya yang jujur dan berbaloi untuk ditonton kerana mesejnya perlu difahami bersama.

“Saya perlu akui sejak kecil saya menyimpan cita-cita menjadi anggota polis, jadi apabila dapat mengenakan pakaian seragam itu saya sangat bangga sehinggakan banyak kali ambil gambar di set penggambaran.

“Saya harap karakter yang mencabar ini tidak akan terhenti di sini saja. Kalau boleh saya nak lebih banyak babak aksi untuk dilakukan supaya saya mampu mencabar kemampuan skil lakonan saya,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran membawakan watak ASP Shazlin, wanita jelita berusia 33 tahun itu mengakui karakter yang diberikan bukan mudah untuk dibawakan kerana menguji mental dan fizikal.

“Ketika saya tanya mengenai karakter ASP Shazlin ini, watak saya tidak sedalam seperti Syafiq Kyle yang juga adik saya dalam filem ini.

“Cuma saya banyak bermain dengan emosi kerana saya ada menyimpan satu rahsia. Jalan cerita filem ini amat menarik dan saya perlu akui Shafiq Yusof adalah pengarah yang hebat.

“Ditambah pula dengan senarai pelakon yang mantap membuatkan saya bertambah yakin untuk terbabit dalam filem ini. Lagipun ini bukan kali pertama saya berkongsi satu layar dengan Zul Ariffin dan Syafiq.

“Cabaran lain tentunya untuk menjayakan babak penting dengan begitu teliti dan kemas. Ada satu babak ketika hujan kami mengambil masa dua hari untuk selesaikannya demi mendapatkan hasil yang terbaik,” katanya.

Dalam masa sama, Azira tidak sabar untuk menantikan maklum balas penonton mengenai filem Sheriff serta lakonannya yang sudah boleh ditonton di pawagam seluruh Malaysia termasuk Singapura dan Brunei.

Salah tafsir ‘alamak’

Menyentuh mengenai lagu raya bersama kumpulan De Fam yang berjudul Alamak Raya Lagi yang dida

kwa membawa makna negatif dan bertentangan dengan tujuan sebenar umat Islam meraikan Aidilfitri, Azira berharap semua pihak tidak menyalah tafsir mesej yang ingin disampaikan.

Menurutnya, lagu itu diinspirasikan daripada suasana terkejut ketika bulan Syawal jatuh sehari awal daripada tarikh yang dijadualkan pada 2022.

“Ada yang menganggap perkataan ‘alamak’ itu adalah salah untuk menggambarkan suasana hari raya. Kami tiada niat untuk mengatakan yang kami tidak gembira untuk menyambut hari raya.

“Segelintir pihak menyalah tafsir maksud lagu itu. Lagu kami diinspirasikan daripada kejadian ‘raya terkejut’ yang berlaku pada 2022.

“Lagu ini sepatutnya dilancarkan tahun lalu, tapi ada kekangan masa. Jadi, kami lancarkan pada tahun ini,” katanya.

Menurutnya lagi, lagu ini tidak mempunyai maksud negatif sebaliknya De Fam hanya mahu berkongsi momen lucu yang berlaku pada tahun itu.

“Kalau anda melihat semula bait-bait lirik, ia menggambarkan suasana huru-hara ketika kita menyambut raya dalam keadaan terkejut.

“Ini adalah situasi yang semua orang boleh kaitkan. Hari Raya momen yang sangat indah, tapi ada juga momen yang tidak disangka-sangka berlaku.

“Kami hanya nak anda ‘enjoy’ dengan lagu kami. Ia lagu yang menyeronokkan. Jangan fikir terlalu mendalam,” katanya.

Dalam pada itu, Azira akui teruja apabila lagu Alamak Raya Lagi ini turut menjadi fenomena bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga luar negara.

“Peminat yang ‘tag’ kami di media sosial. Kalau mereka tak bagi tahu, kami pun tak tahu. Saya sangat terkejut bila ada kumpulan K-Pop wanita pun turut buat trend lagu ini.

“Saya pun tertanya-tanya macam mana mereka tahu lagu ini. Kami sangka lagu ini hanya berada di pasaran Malaysia.

“Namun, bila ia sudah mencapai pasaran lebih besar, jumlah tontonan juga meningkat dengan sangat laju. Kini sudah mencecah 15 juta di Youtube dan sasaran kami adalah 20 juta.

“Kalau capai sasaran itu, De Fam nak buat rumah terbuka sempena Aidilfitri tahun ini,” katanya.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here