GENTING HIGHLANDS – Dua pelakon kelahiran Malaysia, Azira Shafinaz dan Fabian Loo melakar sejarah apabila dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita serta Lelaki Terbaik menerusi filem Indera pada Festival Filem Asia Pasifik Kuala Lumpur ke-61 (APFF61) yang berlangsung di sini, hari ini.
Menurut Azira atau nama penuhnya, Azira Shafinaz Ramlan, 33, dia mengakui terkejut malah tidak mengetahui dirinya tercalon bagi kategori tersebut.
“Pertama sekali, saya tidak tahu nama saya tercalon dalam kategori ini.
“Jadi, ini seperti satu kejutan besar. Terima kasih kepada APFF atas penghargaan yang besar ini.
“Saya sangat besar hati dan merendah diri menerima anugerah ini,” katanya.

Bukan hanya Azira, aktor, Fabian Loo pula diumumkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem arahan Tunku Mona Riza iaitu Raintown.
Dalam pada itu, filem fenomena Thailand, How To Make Millions Before Grandma Diesarahan Pat Boonnitipat pula menepati ramalan ramai apabila dinobatkan sebagai filem terbaik APFF61.
Bagi trofi kategori Pengarah Terbaik pula dibawa pulang Anselm Chan Mou Yin menerusi filem Hong Kong, The Last Dance.
Trofi Aktor Terbaik APFF61 tahun ini dibawa pulang Putthipong Assaratanakul menerusi lakonan hebat dalam filem How To Make Millions Before Grandma Dies (Thailand).
Pelakon kelahiran Hong Kong, Michelle Wai pula berjaya merangkul trofi Aktres Terbaik hasil persembahan hebat dalam filem The Last Dance.
Sementara itu, aktor legenda Hong Kong, Sammo Hung diangkat sebagai pemilik trofi Anugerah Sepanjang Hayat APFF61 sebagai tanda penghargaan terhadap kerja kerasnya selama enam dekad.
Sammo yang terkenal dengan lakonan aksi sebelum ini pernah popular menerusi filem Painted Faces (1988) dan Wheels On Meals (1984).
Pada acara sama, sebanyak 20 buah negara menyertai yang menyaksikan Malaysia sebagai tuan rumah dalam penganjuran APFF kali ini.
APFF merupakan salah satu festival filem tertua dan paling berprestij di rantau ini yang diasaskan pada1953.
APFF diadakan secara tahunan yang dianjurkan oleh Federation of Motion Picture Producers in Asia Pacific (FPA) dan telah dihoskan oleh pelbagai lokasi bandar di 25 negara dan wilayah yang berbeza.
Sebelum ini, Malaysia telah menjadi tuan rumah APFF sebanyak lima kali dan kali terakhir diadakan pada tahun 2005.
Sumber – Kosmo! Online