Kuala Lumpur: Pelakon Azar Azmi, 35, yang ‘hilang’ secara tiba-tiba daripada radar industri hiburan sememangnya kini dirasai peminat, termasuk penggiat seni tanah air terutama mereka yang pernah bekerjasama dengannya.
Apatah lagi, Azar atau nama sebenarnya, Siti Azar Ameerah Azmi pernah mencipta sensasi untuk babak ‘panas’ ketika melakonkan watak antagonis, Juita dalam drama Nur 2 bersama Syafiq Kyle sebagai Ustaz Adam yang diterbitkan Radius One pada 2019 lalu.
Penerbit dan pengarah drama, Shahrulezad Mohameddin dihubungi berkata, kehilangan Azar yang secara tiba-tiba daripada industri hiburan adalah satu kejutan kerana tidak diketahui apa punca sebenarnya.
“Dia (Azar) menghilang secara tiba-tiba dan tak tahu kenapa? Hilang dari radar dan saya mulanya ingatkan mungkin dia tengah sibuk ‘shooting’ dengan produksi lain. Tapi, lepas setahun tengok dia tetap tidak ada dalam industri, memang menyepilah.
“Secara jujurnya, saya pun tak berapa rapat sangat dengan Azar dan dia pun baru sekali bekerja dengan saya ketika drama Nur 2 itu. Terus-terang cakap, bagi saya Azar adalah salah seorang pelakon yang berbakat besar.
“Rasa sayang pula kalau tiba-tiba dia memang ‘menyepikan’ diri. Apapun, kalau betul Azar ambil keputusan menyepi dari industri seni, saya rasa kita kenalah hormati keputusan dia. Doakan yang baik-baik saja untuk Azar,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Shahrulezad, sebagai individu yang melihat Azar seorang pelakon wanita berbakat tanah air, semestinya amat merugikan sekiranya wanita itu betul-betul ‘angkat kaki’ meninggalkan industri begitu saja.
Terdahulu, tular di media sosial menerusi satu perkongsian video dihasilkan oleh seorang peminat Azar di TikTok yang mendoakan kesejahteraan buat pelakon berkenaan walau di mana juga dia berada.
Rata-rata komen wargamaya pula menyifatkan kehilangan Azar sebagai misteri dan kelibatnya dalam lakonan amat dirindui kerana berupaya melakonkan pelbagai watak sama ada baik dan jahat dengan berkesan.
Meninjau juga di akaun Instagram milik Azar, didapati kemaskini terakhir hantaran dibuatnya pada 6 Mei 2022, manakala difahamkan kali terakhir dia muncul membintangi drama di TV pada 2021 lalu.
Mengenai kisah peribadinya, Azar  pernah bertunang dengan penerbit filem yang berstatus bapa tunggal, Hafiz Rozlan pada 1 Disember 2019, namun mereka bagaimanapun difahamkan putus tunang sejak 10 Februari 2020.
Selain Nur 2, drama lain pernah dibintangi Azar selama aktif berlakon ialah Tiada Arah Jodoh Kita, Cinta Fatamorgana, Isteri Untuk Diiktiraf, Terbaik Dariku dan Pujaan Hati Kanda.
Sumber: Harian Metro