AUG 2024: Firdaus Dedikasi Emas Buat Arwah Bapa

0
37

MALANG: Kekecewaan dialami atlet pencak silat negara, Mohammad Firdaus Mohd Israj pada kempen Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 akhirnya terubat dengan pingat emas dalam acara silat olahraga Putra B AUG 2024 di Surabaya-Malang, hari ini.

Penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) meraih pingat emas kedua dari sukan pencak silat apabila menumbangkan pesilat Thailand, Soradet 56-28 pada aksi final di UMM Dome, Universitas Muhammadiyah Malang.

Untuk itu, Firdaus mendedikasikan pingat emas AUG 2024 kepada arwah bapanya, Mohd Israj Ismail yang meninggal dunia akibat sakit buah pinggang tahap 4, dua tahun lalu.

“Pada hari pertama saya di AUG 2022, itu adalah hari pertama ayah saya masuk hospital dan itu membuatkan saya tidak dapat fokus pada perlawanan kerana teringat akan keadaan ayah sekali gus hanya meraih pingat gangsa.

“Selepas beberapa hari di Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT), bapa saya meninggal dunia. Jadi saya ingin dedikasikan pingat emas ini untuk arwah ayah saya,” katanya.

Sebelum ini, pencak silat meraih pingat emas pertamanya di AUG 2024 dalam acara silat seni ganda putera menerusi gandingan negara, Maizal Mazlin Mansor-Muhammad Azri Farhan Mohamad Azri.

Mengulas lanjut mengenai pertembungan final, atlet berusia 24 tahun itu menyifatkan ia bukanlah satu aksi yang mudah memandangkan lawan sentiasa memberi cabaran yang sengit sepanjang perlawanan.

“Kekuatan Thailand adalah dengan sepakan yang kuat dan mereka pun lebih kepada permainan ‘endurance’.

“Saya cuma bermain secara taktikal dan Alhamdulillah, taktikal yang digunakan berkesan untuk menewaskan Thailand,” katanya.

Sumber: Buletin TV3

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here