AUG 2024 Buka Tirai Rasmi Hari Ini, Bukan Pertandingan ‘Syok Sendiri’

0
42

SURABAYA: Temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 yang membuka tirainya secara rasmi hari ini, jelas bukanlah pertandingan ‘syok sendiri’ memandangkan beberapa atlet berprofil tinggi negara turut dipanggil memperkasa kontinjen negara bagi edisi kali ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tampaknya ‘melayan’ temasya di Surabaya-Malang ini sebagai antara keutamaan terutama menerusi kehadiran beberapa atlet yang ketika ini memegang rekod kebangsaan selain pernah menempa kejayaan di Sukan SEA.

Beberapa nama ini jelas menjadi pertaruhan terbaik negara bagi menjelmakan kilauan pingat emas di AUG 2024 dengan 35 pingat emas menjadi sasaran yang perlu dibawa atlet Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam ‘jangka masa’ sehingga 6 Julai ini.

Tiga ‘nama besar’ dari sukan olahraga dibawa iaitu pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter (m) lelaki, Muhammad Azeem Mohd Fahmi; pemegang rekod kebangsaan acara 400m lelaki, Umar Osman serta pemegang rekod kebangsaan acara 400m wanita, Shereen Samson Vallabouy.

Selain itu, pemegang rekod kebangsaan acara berpasukan compound lelaki, Mohamad Syafiq Md Ariffin turut menyertai AUG selain pemenang pingat emas di Sukan SEA 2023 iaitu atlet taekwondo, Muhammad Syafiq Zuber dan atlet karate, Shahmalarani Chandran.

Umar ketika ditemui pada majlis penyerahan bendera untuk kontinjen negara ke AUG 2024 mengakui pingat emas menjadi buruannya namun dia turut menyasarkan untuk memecahkan rekod kebangsaan yang ketika ini menjadi miliknya.

“Bagi AUG kali ini, saya mahu memenangi pingat emas dan kalau dapat pecahkan rekod saya sendiri, ia boleh dikira bonus. Untuk menang pingat emas di AUG, saya tidak perlu terlalu laju, jadi saya yakin akan memenangi pingat emas.

“Jika untuk memecahkan rekod AUG pula, saya rasa saya berpotensi untuk melakukannya,” katanya.

Sementara itu, Shahmalarani melontarkan keyakinan untuk mengekalkan pingat emas yang dimenanginya pada edisi 2022 di Ubon Ratchathani selain turut mengintai peluang untuk menokok satu lasgi pingat emas dalam acara berpasukan.

“Persiapan berjalan dengan lacar dan ini adalah temasya kedua saya di AUG, jadi sudah tentulah misi saya adalah untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi sebelum ini.

“Kita mendapat pingat perak dalam acara berpasukan pada edisi 2022 dan kami akan berusaha sebaik mungkin untuk membawa pulang dua pingat emas dari Surabaya-Malang,” katanya.

Sumber: BuletinTV3

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here