KUALA TERENGGANU – Garis Panduan Pemakaian Sukan Patuh Syariah masih belum dapat dilaksanakan sepenuhnya oleh kerajaan negeri Terengganu ekoran terikat dengan peraturan ditetapkan badan sukan antarabangsa.
Hishamuddin Karim (Pas-Tepuh) berkata, pendekatan lebih lembut terpaksa diambil bagi mendidik atlet mematuhi garis panduan terbabit dengan berpakaian patuh syariah sewaktu bersukan.
“Kalau hendak patuh syariah itu agak sukar dilaksanakan sepenuhnya seperti sukan berbasikal.
“Kita didik perlahan-lahan dan memberi kesedaran kepada atlet agar mengenakan pakaian yang mesra syariah berbanding langkah penguatkuasaan lebih tegas,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan lisan Dr. Tengku Muhamad Fakhruddin Tengku Md Fauzi (Pas – Sura) tentang standard pemakaian menutup aurat ditetapkan kerajaan negeri bagi acara sukan dan acara badan bukan kerajaan (NGO).
Hishamuddin berkata, usaha pendidikan bagi memastikan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Terengganu dilancarkan pada tahun 2020 tetap diteruskan.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu tersebut menjelaskan, kerajaan negeri kekal tidak akan menyertai acara gimnastik dan gimrama wanita pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024 ekoran isu pemakaian atlet yang tidak mematuhi syariah.
Sumber: Kosmo