AstraZeneca Akui Vaksin Covid-19 Ada Kesan Sampingan, KKM Perlu Perjelaskan

0
33
Foto: Sinar Harian

KUALA KUBU BHARU: Kementerian Kesihatan (KKM) akan meminta penjelasan daripada Firma Farmaseutikal AstraZeneca berhubung vaksin COVID-19 yang mereka bangunkan telah menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku kepada orang ramai.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya akan meminta wakil daripada firma terbabit untuk membuat penjelasan dengan lebih teliti dan telus kepada semua pihak di negara ini.

“Kita boleh minta wakil AstraZeneca untuk membuat penjelasan dengan lebih teliti. Saya lebih mahu kalau ia menyebut secara telus kepada semua rakyat dan media”

“Mereka mesti bertanggungjawab seperti mana kita juga mesti bertanggungjawab. Tak ada apa yang mahu kita sembunyikan dan kita pertahankan mereka”.

“Mereka firma farmaseutikal besar dan pembuat vaksin. Mereka perlu memberikan penerangan dan pencerahan bukan sahaja kepada rakyat di negara kita, tetapi secara global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melakukan lawatan Pemeriksaan Kesihatan di Kampung Orang Asli Tun Abdul Razak, Kuala Kubu Bharu.

Terdahulu, Firma Farmaseutikal AstraZeneca dilaporkan mengakui dalam dokumen mahkamah bahawa vaksin Covid-19 mereka boleh menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku.

Firma berkenaan menghadapi saman atas dakwaan vaksin yang dibangunkan mereka bersama Universiti Oxford boleh menyebabkan kematian dan kecederaan serius dalam puluhan kes.

Peguam berhujah bahawa vaksin itu menghasilkan kesan sampingan yang memberi kesan buruk kepada sebilangan kecil individu.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly turut menggesa agar semua pihak tidak cepat membuat rumusan berkait kenyataan dibuat oleh Firma Farmaseutikal AstraZeneca itu.

Beliau turut mengingatkan bahawa penggunaan vaksin ini mempunyai manfaat dan kebaikannya.

“Kes kesan sampingan yang berlaku itu juga adalah pada kadar kebarangkalian 0.9 peratus dalam sejuta orang.

“0.9 peratus dalam satu juta. Letakkan perspektif itu, bandingkan dengan kebaikan dan manfaatnya”

“Saya minta saudara fikirkan secara logik, pembuktian, saintifik, baik buruknya, pro dan kontra dan letakkannya dalam perspektif,” katanya.

Sumber: Buletin TV3

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here