PETALING JAYA – Rindu takkan pernah habis, pelawak dan usahawan Shuib mengundang sebak apabila memuat naik foto mengimbau kenangannya menunaikan umrah bersama Allahyarham Siti Sarah sekitar enam tahun lalu.
Menerusi perkongsian Instagram tersebut, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 40, memuat naik foto dipeluk isterinya, Watie Hanafiah ketika berada di Jabal Rahmah namun momen sama pernah dirakamnya bersama Siti Sarah sebelum ini.
“Tempat yang sama, kisah yang berbeza. Jabal Rahmah jadi saksi pertemuan dua cinta. #2018/2024,” katanya dalam ruangan kapsyen.
Paling membuatkan ramai tersentuh apabila Shuib turut memuat naik foto Siti Sarah tersenyum manis duduk di atas batu dengan lengkap berpakaian serba putih.
Sementara dalam ruangan komen, netizen sayu melihat foto arwah namun dan dalam masa yang sama mereka turut memuji keperibadian Watie sebagai isteri serta ibu tiri.
“Gambar terakhir macam Sarah memandang semua dari kejauhan, sendiri. Al-Fatihah.
“Sebenarnya hati yang paling kuat ketika ini ialah Watie.
“Foto terakhir itu seperti arwah tersenyum gembira melihat suami dan anak-anaknya berada dalam tangan orang yang baik,” komen netizen.
Difahamkan, Shuib turut membawa tiga anaknya iaitu Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra dan Ariq Matin menunaikan umrah ketika ini.
Terdahulu, pada 9 Ogos 2021, Siti Sarah menghembuskan nafas terakhirnya akibat Covid-19 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia.
Sebelum itu, arwah menjalani pembedahan melahirkan anak bongsunya iaitu Ayash Affan ketika kandungan berusia lapan bulan.
Shuib kemudian mendirikan rumah tangga bersama Watie pada 23 Jun tahun lalu di Putra Glass Heights.
Sumber – KOSMO! ONLINE