Ariff Peter Tarik Nafas Lega, Semua Hutang Sudah Selesai

0
239
Foto: Harian Metro

Kuala Lumpur: Selepas hampir sebulan kisah Ariff Luqman Peter Lisut yang tersilap ‘percaturan’ apabila terpedaya dengan pelaburan mata wang digital sehingga mengheretnya menanggung hutang lebih RM1 juta disiarkan, lelaki itu kini boleh menarik nafas lega apabila hutang sudah dilunaskan.

Dia yang lebih dikenali sebagai Ariff Peter, 27, berkata, hutang itu dilunaskan dengan bantuan seluruh rakyat negara ini yang tanpa henti membantunya dengan menggunakan pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan di media sosial.

Menurutnya, semua itu diperolehi sejak kisahnya disiarkan Harian Metro sebelum turut mendapat liputan lebih meluas yang sekali gus mengembangkan perkhidmatannya.

Katanya, baki hutang sebanyak RM30,000 sudah dilangsaikan hasil bantuan rakan perniagaannya yang mahu dia fokus kepada perniagaan yang dimulakan beberapa minggu lalu.

“Sebelum ini semua hutang dilunaskan hasil perkhidmatan yang saya tawarkan dan baki RM30,000 lagi dibantu rakan perniagaan kerana mereka percaya jika saya mampu fokus dengan bisnes tanpa bebanan hutang.

“Mereka yakin perniagaan bersama ini mampu pergi lebih jauh dan berjaya. Saya sudah membuka perniagaan konsultasi dan pemasaran bertujuan membantu B40 dan pengusaha kecil dan sederhana (SME) menguruskan perniagaan dan kewangan mereka,” katanya.

Katanya, ketika ini kehidupannya sudah berubah jauh lebih baik berbanding sebelum ini, malah dia juga sudah tinggal di sebuah rumah di Cheras, di sini, dan usaha perniagaannya juga akan membuka peluang pekerjaan kepada orang lain.

Ariff Peter berkata, dia bersyukur dengan rezeki yang diperolehi ketika ini yang mengeluarkannya daripada belenggu hutang yang membebankannya sepanjang lebih dua tahun ini.

“Saya berterima kasih kepada Harian Metro kerana menjadi pencetus kejayaan dalam menyelesaikan bebanan hutang ini. Perkhidmatan yang saya tawarkan juga digunakan dengan meluas kerana bantuan daripada media sosial dan massa.

“Saya yakin jika media sosial digunakan dengan betul, ia mampu untuk membantu kita, namun bergantung perspektif masing-masing. Saya berjaya keluar daripada bebanan hutang dengan melaluinya dan pemasaran,” katanya.

Harian Metro sebelum ini menyiarkan kisah Ariff Peter yang terpaksa tinggal dalam Proton Wira yang juga satu-satunya harta miliknya, selepas pemuda berkenaan menjual semua aset perniagaan, rumah dan kereta lebih setahun lalu.

Ia demi membayar hutang lebih RM1 juta selepas terpedaya dengan pelaburan mata wang digital dan bulan lalu, hutangnya berbaki RM100,000 namun dia giat melakukan pelbagai kerja sampingan yang dikongsikan di TikTok.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here