Monday, December 2, 2024
HomeHIBURAN‘Apa Sahaja Ciptaan Ahmad Nawab Pasti Masuk Ke Hati’

‘Apa Sahaja Ciptaan Ahmad Nawab Pasti Masuk Ke Hati’

GOMBAK – Penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang berkongsi kenangan mendalam bersama maestro muzik Malaysia, Tan Sri Ahmad Nawab, yang meninggal dunia semalam pada usia 92 tahun.

Menurut Hetty, 67, setiap karya ciptaan Allahyarham mempunyai keunikan tersendiri yang sentiasa meresap ke dalam jiwanya.

“Ketika merakamkan lagu bersama arwah sudah tentu saya mempunyai memori sendiri. Di saat saya merakamkan lagu ciptaan arwah, dia sentiasa menunggu di studio.

“Saya memanggil arwah sebagai Ahmad dan pernah berkata kepada arwah, apa sahaja lagu ciptaannya yang dinyanyikan pasti masuk ke dalam hati.

“Lagu-lagu beliau sangat ‘mellow’ dan saya menyanyikan dengan penuh penghayatan,” katanya ditemui selepas menziarahi jenazah Allahyarham Ahmad Nawab di kediamannya di sini, hari ini.

Hetty yang pernah menyampaikan lagu popular ciptaan Allahyarham seperti Inginku Sandarkan Harapan dan Pedihnya Rasa mengakui karya Ahmad Nawab memiliki nilai emosi tinggi.

Tambah Hetty lagi, Allahyarham juga sering memuji bakatnya dan mengikuti persembahannya, menjadikan hubungan mereka lebih bermakna.

“Di studio, bila saya tanya apa yang kurang, arwah akan berkata, ‘Tiada yang kurang’. Itu membuatkan saya sangat menghargai kepercayaan beliau.

“Kalau di studio saya selalu bertanya, apa yang kurang dan dia jawab kalau saya nyanyi tiada yang kurang. Kalau saya ada acara di Malaysia, cucu arwah beritahu, dia selalu menonton saya.

“Cucunya juga ada berkata penyanyi Indonesia yang dia kenal hanya dua iaitu saya dan Broery Marantika. Alhamdulillah saya berkesempatan untuk hadir hari ini,” ujarnya.

Meskipun sibuk dengan komitmen sebagai juri program Gegar Vaganza 11, Hetty tidak mahu melepaskan peluang untuk memberi penghormatan terakhir.

“Malam tadi saya ada tugas, tetapi selepas mendengar berita pemergian beliau, saya terus beritahu suami, saya harus datang.

“Saya tidak sempat menziarahi Allahyarham Datuk Sudirman Arshad dan Allahyarham Datuk Sharifah Aini sebelum ini kerana berada di Jakarta. Kali ini, saya tidak mahu lepaskan peluang,” ujarnya.

Hetty yang memulakan langkah sebagai penyanyi seawal usia 14 tahun berbangga pernah menyampaikan lagu ciptaan Allahyarham Ahmad Nawab yang disifatkan malar segar.

Semalam, Allahyarham Ahmad Nawab disahkan meninggal dunia di kediamannya di Taman Melewar, Batu Caves di sini, pada pukul 3.15 petang semalam.

Sumber – Kosmo! Online

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Fattah Amin Doakan Mangsa Banjir Di Tanah Suci

0
PETALING JAYA – Kesibukan melakukan ibadah umrah tidak membataskan pelakon Fattah Amin untuk menitipkan doa buat mangsa banjir di tanah air. Fattah atau nama sebenarnya...

CATEGORIES