PENYANYI tersohor negara, Anuar Zain dilantik sebagai Duta Kemanusiaan Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) sempena kempen ‘Palestine Rays of Hope’.
Kempen tersebut bertujuan mengumpul dana bagi membantu rakyat Palestin yang sedang bergelut dengan krisis kekurangan makanan dan keperluan asas serta berdepan dengan musim sejuk yang bakal tiba tidak lama lagi.
Fokus pertama bantuan dari kempen ini adalah pakaian dan perkakasan musim sejuk.
Usaha bantuan ini sangat penting pada masa ini buat mereka kerana ia dapat meringankan beban mereka dan membawa harapan baharu untuk meneruskan kehidupan.
Mengulas mengenai pelantikan tersebut, Anuar berkata, beliau sentiasa mengikuti secara rapat dengan apa yang berlaku di Gaza dan amat tersentuh dengan kesengsaraan yang dihadapi mereka.
Kali ini beliau merasakan perlu untuk terus membantu mereka dengan menerima cadangan kolaborasi sekaligus menjadi Duta Kemanusiaan MAHAR.
Peluang ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk terus membantu rakyat Palestin yang sentiasa diuji dengan pelbagai cabaran.
“Jadi saya juga menyeru orang ramai dan pihak korporat untuk bersama-sama kami dalami kempen ‘Rays of Hope’ ini. Sumbangan anda mampu memberikan impak besar kepada kehidupan mereka,” katanya.
Tambahnya, sumbangan itu tidaklah dapat memulihkan sepenuhnya keperitan yang sedang mereka hadapi tetapi sekurang-kurangnya dapat memberikan sedikit keselesaan dan harapan kepada mereka ini.