Anne Ngasri Masih Aktif Berlakon Cuma Kurang Promosi

0
39

PETALING JAYA – Pelakon dan ahli politik, Datin Anne Ngasri mengakui ramai menyangka dia sudah bersara daripada dunia lakonan berikutan jarang muncul di kaca televisyen.

Menurut Anne atau nama sebenarnya Naszriah Ngasri, 40, dia belum meletakkan noktah dalam kerjaya lakonan memandangkan arena seni sudah menjadi padang permainannya sejak zaman kanak-kanak.

“Ramai yang ingat saya dah tak berlakon sedangkan saya masih aktif terutama dalam penerbitan drama produksi keluarga walaupun tidak sekerap dulu.

“Drama lakonan saya pun banyak keluar di RTM, cuma mungkin kurang promosi buatkan orang ingat saya dah angkat kaki,” katanya ketika ditemui di tayangan perdana drama Gemersik Berbisik siaran Unifi TV, baru-baru ini.

Akui ibu kepada enam anak itu, dia sendiri akan berasa janggal andai meninggalkan terus bidang yang dicintai itu disebabkan mahu fokus terhadap perkara lain.

“Saya selalu cakap yang berlakon sudah menjadi hobi dan kalau saya tinggalkan, rasa macam serba tak kena. Sebab itu, saya alu-alukan orang panggil saya berlakon.

“Tetapi perlu mengikut jadual saya selepas sejak tahun lalu saya memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Giat Mara, jadi saya pun kena fokus kepada kerja hakiki saya.

“Selalu yang boleh ikut jadual saya adalah syarikat produksi keluarga saya sendiri, tetapi tidaklah saya ambil kesempatan atau meletakkan sebarang syarat lain.

“Jadi saya memang sedia dan masih teringin berlakon di bawah penerbit lain, tolonglah panggil saya berlakon,” ujarnya.

Menyentuh mengenai dunia politik yang diceburi atas dorongan suami, Datuk Mohd. Sumali Reduan,  Anne yang duduk di kerusi Exco Wanita UMNO Malaysia tidak bercita-cita untuk lebih ke hadapan.

Menurut Anne, cukup tanggungjawab digalas kini kerana tujuan menyertai politik adalah untuk memberikan sesuatu semula kepada masyarakat.

“Saya bersyukur dapat berbakti menerusi tugas yang saya galas sekarang dan belum terfikir pun mahu bertanding sebagai calon dalam mana-mana pilihanraya.

“Alhamdulillah, inilah antara cara saya menyalurkan khidmat selain memenuhi tanggungjawab bukan hanya sebagai ibu, isteri dan pelakon, bahkan membantu masyarakat,” katanya

Sementara itu, menerusi drama bersiri lapan episod Gemersik Berbisik terbitan syarikat keluarganya, NS Star studio, Anne turut bergandingan dengan Elusya Sandha, Ezzrin Loy, Zarina Zainoordin, Yasmin Hani dan Fazlina Ahmad Daud.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here