PETALING JAYA – Tindakan pantas seorang lelaki berjaya menyelamatkan seorang wanita yang hampir lemas ketika mandi di sebuah taman rekreasi.
Menerusi Kosmo, sebuah video berdurasi 38 saat yang dikongsi di aplikasi X, individu berkenaan pada mulanya hanya merakam suasana di taman rekreasi tersebut sebelum detik-detik mencemaskan itu berlaku.
Seorang wanita dilihat terkapai-kapai sebelum seorang lelaki bertindak pantas berenang untuk menyelamatkan mangsa.
Difahamkan kejadian mencemaskan itu berlaku di Lata Sedim, Kedah.
Berdasarkan laporan Kosmo, tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna memuji tindakan pantas lelaki terbabit.
“Mujur abang tu nampak sebab orang lemas memang susah hendak menjerit, bukan macam dalam filem boleh menjerit minta tolong,” kata Sue.
“Adik aku pernah hampir lemas di Lata Sedim, sejak kejadian itu tidak pernah mandi dekat kawasan lata lagi,” kata Jemah.
“Kalau tak pandai berenang, janganlah berani ke tengah. Nasib baik ada orang boleh selamatkan,” tegur Qis.
“Bahaya pakai tudung kain untuk berenang memang kalau tekup muka udara susah masuk dan berat sebab air. Bayangkan letak baju basah atas kepala masa tenggelam. Tolonglah nak main air sungai ke kolam ke pakai tudung khas untuk berenang,” kata Amirul.
Sehingga kini video tersebut sudah mendapat 11,000 tontonan.
Sumber: Kosmo