BANDAR GAZA – Angka kematian serangan mengejut pejuang Hamas ke atas selatan Israel meningkat kepada sekurang-kurangnya 700 orang termasuk 44 askar Zionis ketika Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menyatakan bahawa perang akan berlaku lebih lama dan sukar, lapor akhbar The Guardian semalam.
Sementara itu, di Gaza yang kini dihujani serangan udara Zionis, pegawai-pegawai melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 413 orang terbunuh.
Beribu-ribu penduduk Israel serta Palestin cedera sejak serangan pagi kelmarin, Rejim Zionis berkata, lebih 100 rakyatnya dipercayai dijadikan tebusan oleh kumpulan Hamas.
Petang semalam, tentera Zionis melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas sasaran di Gaza dengan berpuluh-puluh kenderaan perisai dan kereta kebal menuju ke bandar itu sekali gus menunjukkan persediaan sedang dilakukan untuk serangan darat.
Bilangan angka kematian di pihak Israel meningkat mendadak semalam ketika tentera Zionis mengawal kawasan yang sebelumnya dirampas oleh pejuang Hamas di selatan Israel.
Petugas-petugas kecemasan Israel turut menemui banyak mayat.
Sementara itu, dalam panggilan kepada Netanyahu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memberitahu bahawa bantuan ketenteraan AS kini dalam perjalanan ke Israel dengan lebih banyak senjata akan menyusul beberapa hari lagi .
Sumber: Kosmo