Kuala Lumpur: Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak akan berkompromi terhadap sebarang kejadian kes buli dalam kalangan pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), tegas Pengerusinya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Asyraf Wajdi turut meminta ibu bapa pelajar MRSM membuat laporan secara terus kepada beliau sekiranya anak mereka dibuli dan terdapat pihak pentadbir MRSM yang cuba menyorokkan kejadian itu.
“Maaf, MARA tidak akan sesekali berkompromi dengan apa jua bentuk kes buli di MRSM, jauh sekali untuk menutup sebarang perilaku curang.
“Biarlah anak VIP (orang kenamaan) atau VVVIP (golongan amat berpengaruh) mana sekalipun, you touch you go!,” menurutnya menerusi hantaran di Facebook, semalam.
Beliau berkata, perlakuan buli jika dibenarkan berleluasa tanpa tindakan tegas akan merencatkan segala usaha membentuk peribadi generasi baharu dalam menggalas amanah besar apabila meningkat dewasa.
Menurutnya MRSM sejak sekian lama banyak melahirkan generasi yang holistik bukan sahaja berilmu tetapi juga diberikan penekanan dalam soal adab, akhlak dan nilai.
“Malah manusia sebeginilah (pembuli) yang apabila memimpin mana-mana organisasi pada masa hadapan akan hilang nilai menghormati orang bawahan, bahkan sewenangnya menindas tanpa rasa belas kasihan dan nilai keprihatinan manusiawi,” katanya.
Baru-baru ini tular di media sosial berhubung kes buli melibatkan sekolah berasrama penuh Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Perak.
Pada 4 November, polis mengesahkan berlaku kes buli membabitkan pelajar sekolah berkenaan dan kertas siasatan bagi kes itu sudah diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada Isnin lalu.
Sumber: Harian Metro