KUALA LUMPUR, 22 Disember- Seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini atas tuduhan meninggalkan anak perempuan berusia dua tahun dalam kereta hingga meninggal dunia, bulan lalu.
Tertuduh, Nur Sari Fardiana Mohd Amran, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.
Mengikut pertuduhan, peniaga dalam talian itu didapati melakukan pengabaian dengan meninggalkan Airis Heidi Mohammad Hafiz dalam kereta hingga menyebabkan kematian.
Kesalahan itu dilakukan di hadapan rumah di Ara Damansara, di sini, antara pukul 8 pagi hingga 3.15 petang, 8 November lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Anis Hakimah Ibrahim, mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh selain syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, peguam bela Nur Sari Fardiana, Datuk Hanif Hassan, memohon jaminan bawah RM5,000 selepas menyifatkan cadangan jaminan pendakwaan sebagai terlalu tinggi.
Beliau berkata mangsa adalah anak tertuduh, sepanjang lebih sebulan, tertuduh mengalami trauma dan perkara itu perlu diambil kira dalam menetapkan jumlah jaminan.
“Anak guam tidak dapat fokus kepada perniagaannya yang menyebabkan pendapatan merosot, selain tiada risiko melarikan diri dan memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan,” katanya.
Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dicadangkan pendakwaan.
30 Januari depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.
Pada 9 November lalu, bayi malang itu maut setelah ditinggalkan ibunya dalam kereta di lokasi kejadian.
Siasatan mendapati, pada pukul 7 pagi, suspek membawa dua anaknya bersama mangsa ke sekolah berhampiran sebelum menuju ke sebuah tadika untuk menghantar mangsa.
Bagaimanapun, ketika tiba di tadika, dia berhenti seketika untuk menyelesaikan urusan perniagaan dalam talian sehingga terlupa untuk menurunkan mangsa.
Wanita itu kemudiannya terus bergerak pulang ke rumahnya tanpa menyedari mangsa berada dalam kenderaan itu.
Dia hanya menyedari mangsa berada di kereta dalam keadaan tidak sedarkan diri, pada pukul 3.35 petang.