Anak Jati Malaysia Buka Khidmat Katering Di Makkah, Guna Rempah 100% Dari Malaysia

1
141
Foto: Utusan Malaysia

MAKKAH: Syarikat Ibtizam Catering & Food Services Sdn Bhd milik anak jati Malaysia menyediakan hidangan bufet kepada 19 agensi pelancongan yang membawa kira-kira 4,950 jemaah menggunakan visa haji dan mujamalah di 25 hotel sekitar Aziziyah dan Makkah.

Syarikat katering yang dimiliki, Sulaiman Ismail, 44, dari Banting, Selangor sudah memulakan perniagaan sejak 2022 dengan menyediakan makanan kepada jemaah haji dan umrah dari Malaysia.

“Sekarang ini saya menyediakan makanan untuk kira-kira 95 peratus jemaah umrah yang dibawa agensi tempatan dan untuk musim haji ini saya menyediakan untuk lebih kurang 19 agensi pelancongan yang membawa kira-kira 4,950 jemaah menggunakan visa haji dan Mujamalah di 25 hotel sekitar Aziziyah dan Makkah.

“Saya menyediakan makanan secara bufet tiga (3) kali sehari hidangan sarapan pagi, makan tengah hari dan hidangan makan malam yang semuanya masakan Malaysia, menggunakan rempah 100 peratus dari Malaysia.

“Begitu juga menu sampingan seperti kuih-muih dan nasi lemak sambal ikan bilis, sambal udang serta sambal sotong kering, ubi kayu rebus, kuah kacang, kuih-muih Malaysia termasuk seri muka, ketayap dan ondeh-ondeh,” katanya lagi kepada Petugas Media Tabung Haji di pejabat dan juga dapurnya, di sini, baru-baru ini.

Menceritakan sejarah kedatangannya ke bumi ambia ini, katanya, ia bermula apabila bertugas dengan TH sebagai tukang masak pada 1999 hingga 2008 kemudian pada 2010 datang semula ke tanah suci untuk membuat umrah dan daripada situ beliau mendapat ilham untuk berniaga di sini.

Pelbagai cara sudah dilalui oleh Sulaiman dalam perniagaan termasuk menggunakan rakan kongsi hinggalah zaman seluruh dunia dilanda wabak COVID-19 yang mana ketika itu beliau hilang punca pendapatan.

Sulaiman berkata, pada 2011 dia menunaikan umrah dan berdoa di hadapan Kaabah supaya Allah SWT menunjukkan jalan dan Alhamdulillah, akhirnya mendapat laluan dan dipermudahkan dengan modal berbayar RM9 juta.

“Akhir 2022, saya dapat tahu dari seorang kawan yang mengatakan Arab Saudi akan mengeluarkan lesen perniagaan yang membenar orang luar memohon. Ia adalah projek pelaburan dan memohon dengan lesen atas nama sendiri,” katanya.

“Sekarang saya berniaga atas nama sendiri, 100 peratus nama dan dimiliki oleh saya. Ini syarikat saya yang sudah pun wujud milik anak Malaysia. Sekarang hampir satu tahun setengah saya berniaga guna nama sendiri,” katanya lagi.

Sulaiman berkata, beliau menggunakan 100 peratus barangan keperluan memasak dari Malaysia, 54 jenis barang semuanya termasuk kari, santan kotak, kicap, ikan bilis, keropok dan sebagainya. Kecuali barangan basah saja yang dibeli dari pembekal tempatan.

“Kebanyakan jemaah berpuas hati dengan masakan kami. Ada ikan masin, sardin, kuih-kuih, roti canai dan murtabak. Kita sediakan juga laksa, mi goreng mamak, mihun sup dan macam-macam lagi. Walaupun kos tinggi tetapi kami usahakan juga asalkan jemaah merasa puas hati makan makanan Malaysia,” tambahnya lagi.

Sulaiman berkata, untuk memasak dia tidak mempunyai masalah kerana dia sendiri turun padang untuk memasak dibantu enam tukang masak yang dibawa dari Malaysia dan 47 orang petugas pembantu yang terdiri datangnya dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Indonesia, India, Bangladesh selain Myanmar yang lahir di sini.

Sumber: Berita Harian

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here