KUALA LUMPUR: Aktor sasa, Ammar Alfian menafikan dirinya pelakon yang didakwa membelasah teman wanita seperti dilaporkan media, hari ini.
Ammar, 37, membuat penafian itu ketika membalas komen pengguna media sosial yang memetik namanya sebagai individu yang terbabit dalam kejadian itu.
“Nateh bukan aku gila,” tulis pelakon Paskal itu dengan menyertakan emoji gelak.
Melalui ruangan komen berbeza, Ammar meminta penerbit menawarkan watak lelaki alim berikutan ‘label’ pelakon ganas yang diberi kepadanya.
“Tahu la muka aku jahat, berlakon pun jahat. Selepas ini, produser tolong bagi watak ustaz kepada aku.
“Aku mahu babak dalam masjid, aku tengah solat, baca doa nangis-nangis,” katanya.
HM Online melaporkan, seorang wanita dibelasah teman lelaki yang juga pelakon dalam kejadian di Ara Damansara, Petaling Jaya, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar@Ismail dilapor mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 6 petang, semalam.