PETALING JAYA – Selepas dihambat kontroversi meninggalkan kekasih tular, nama Amir Ahnaf terus sohor kini (trending) dalam media sosial sejak semalam.
Bukan hanya kecewa, Amir juga dihujani dengan keceman dan kritikan ‘pedas’ daripada netizen yang menyifatkan wajahnya tidak cukup kacak untuk dijadikan idola gadis di luar sana.
Tidak mengeluarkan sebarangan kenyataan mempertahankan diri, bagaimanapun akaun media sosial Amir atau nama penuhnya Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin, 24, terus ‘diserang’ peminat dan netizen yang melahirkan rasa kecewa berhubung isu tersebut.
Rata-rata netizen yang kecewa menyifatkan Amir tidak sepatutnya terpalit dengan cerita sensasi begini apatah baharu sahaja membina nama sebagai pelakon.
“Red flag betul Amir. Risau betul lelaki zaman sekarang, tak boleh percaya!” komen netizen.
Tidak cukup dengan itu, peminat anggota kumpulan Dolla iaitu Angel juga menuntut permohonan maaf daripada pelakon drama Projek: High Council itu kerana pendedahan wanita terbabit turut mengheret nama Angel.
Semalam, seorang wanita menerusi sebuah video TikTok mendedahkan mengenai hubungannya dengan seorang pelakon baharu yang kini meningkat popular.
Menerusi hantaran itu, wanita berkenaan berkongsi beberapa foto mesra dengan artis tersebut didakwa Amir malah mendedahkan mereka saling mengenali sejak setahun lalu.
Dalam perkongsian sama, wanita tersebut turut memuat naik tangkap layar InstaStory Angel yang mengulang siar video dikongsi Amir ketika hadir ke konsert Dolla baru-baru ini.
Amir sebelum ini turut menafi menjalin hubungan cinta dengan Angel sebaliknya memberitahu mereka hanya sekadar kenalan rapat.
Sumber – Kosmo! Online