PETALIING JAYA – Pempengaruh sensasi, Ameera Khan menjadi sorotan ramai gara-gara dikatakan cuba meniru selebriti terkenal Hollywood, Hailey Bieber.
Ameera atau nama lengkapnya Nur Ameera Abdul Halim Khan, 24, bakal melancarkan produk kosmetik jenamanya sendiri tidak lama lagi.
Namun apa yang menjadi pertikaian netizen adalah bentuk produk serta konsep jenamanya seakan sama dengan jenama kosmetik popular milik Hailey.
“Bukan nak membenci, tetapi LMK (Ameera) akan lancarkan jenama kosmetikya sendiri tidak lama lagi. Adakah sesiapa yang perasan (produk berkenaan) seakan-akan sama dengan jenama kosmetik milik Hailey? Daripada pembungkusan, warna, formulasi dan ‘copywriting’ semuanya sama.
“Kenapa perlu curi idea kreatif orang lain? Kenapa tidak hasilkan sendiri? Kamu juga tiru penggambaran kempen mereka? Dimanakah keaslian kamu?,” tulis netizen dalam aplikasi media sosial Threads.
Dalam komen balas hantaran tersebut, ada netizen yang memberitahu, Ameera pernah mendedahkan dalam sesi siaran langsungnya yang dia menang ingin hasilkan produk seperti jenama Hailey tetapi dalam versi yang jauh lebih murah.
Rata-rata netizen juga dilihat tidak pelik dengan tindakan Ameera kerana sebelum ini dia dikatakan pernah cuba meniru jenama kosmetik milik Kylie Jenner beberapa tahun lalu.
Namun produk yang dikeluarkan Ameera tidak bertahan lama dan kini dia membuat kemunculan semula dengan jenama yang baharu.
Sumber – KOSMO! ONLINE