PETALING JAYA – Belum reda gosip cinta dengan aktor Indonesia, Jefri Nichol, pempengaruh Ameera Khan sekali lagi menjadi bahan bualan ramai apabila memuat naik foto memakai busana pengantin dalam Instagramnya hari ini.
Menerusi perkongsian tersebut, Ameera atau nama penuhnya Nur Ameera Abdul Halim Khan, 23, memuat naik foto dia mencuba beberapa helai gaun pengantin berwarna putih di sebuah butik.
“Saya fikir saya akan mengahwini awak,” katanya ringkas dalam ruangan kapsyen.
Dia bagaimanapun tidak berkongsi lanjut sama ada perkongsian tersebut hanya sekadar kandungan media sosial atau persiapan detik hari bahagianya.
Sementara dalam ruangan komen, rata-rata netizen memuji kecantikan Ameera yang disifatkan persis seorang puteri.
“Cantiknya Ameera, macam puteri.
“Bakal patah hati sedunia?
“Masya-Allah, sangat cantik,” komen netizen.
Terdahulu, Ameera Khan mencuri perhatian netizen selepas dia dilihat mesra bersama Jefri di sebuah restoran di Jakarta, Indonesia namun kedua-duanya tidak mengeluarkan kenyataan mengesahkan spekulasi tersebut.
Sebelum ini pernah timbul gosip yang mendakwa adik kepada Neelofa itu sedang hangat bercinta dengan Jefri namun hubungan mereka dikatakan putus tidak lama kemudian.