Amaran Cuaca Buruk, Ribut Petir Di Lembah Klang Petang Ini

0
68
Foto: Kosmo

PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat, angin kencang dan ribut petir di seluruh negara petang ini.

MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, ribut petir dijangka tertumpu di kebanyakan kawasan di Putrajaya, Negeri Sembilan dan Johor dengan taburan hujan yang lebat pada sebelah petang.

“Ribut petir berserta angin kencang juga dijangka berlaku di beberapa tempat melibatkan Perlis, Pulau Pinang, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur dan Melaka.

“Beberapa tempat di kawasan pedalaman Kedah, Perak, Kelantan dan Terengganu turut dijangka menerima cuaca buruk sama,” ujar Metmalaysia.

Selain itu, ribut petir dan hujan lebat di sebelah petang turut dijangka di Sabah melibatkan kawasan Pedalaman, Pantai Barat, Tawau, Sandakan dan Kudat.

“Di Sarawak, kawasan yang berdepan cuaca buruk itu ialah Kuching, Serian, Samarahan, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang,” katanya.

Sementara itu, bagi cuaca sebelah malam pula, ribut petir turut diramalkan tertumpu di beberapa tempat melibatkan Selangor, Melaka dan Johor serta beberapa tempat di kawasan pedalaman Perak, Kelantan dan Pahang.

“Cuaca hujan dan lembap turut dijangka di Kedah dan Pulau Pinang serta beberapa tempat di kawasan pedalaman Perlis.

“Ribut petir berserta hujan pada sebelah malam turut dijangka di Pedalaman, Labuan, Pantai Barat dan Sandakan, Sabah serta Kuching, Serian, Samarahan, Mukah, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang, Sarawak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here