AKTOR Amar Baharin, meluahkan rasa lega apabila isu tanah milik ibunya, Norhayati Abd Aziz di Semenyih, Selangor yang berlarutan sejak 13 tahun lalu dapat diselesaikan secara baik.
Jelas Amar, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor, namun enggan berkongsi maklum lanjut bagi menghormati permintaan pihak PTG.
“Kami sudah pun dipanggil untuk berbincang dengan PTG dan kami sudah bersetuju dan tandatangani satu surat untuk tidak berkongsi lebih lanjut mengenai isu ini. Itu sebab sekarang saya ambil pendekatan untuk berdiam diri.
“Isu itu pun sudah ada tindakan. Jadi masalah ini sudah selesai, dan mereka juga sudah jelaskan bagaimana perkara ini boleh terjadi,” jelasnya yang mengucapkan terima kasih kepada pihak media kerana membantu membuat liputan mengenai perkara tersebut sehingga membuka mata pihak atasan.
Dalam masa sama, suami kepada aktres Amyra Rosli itu menolak statusnya sebagai selebriti menjadi sebab perkara itu dapat diselesaikan secara baik.
“Saya tak rasa sebegitu sebab ibu saya sudah alami perkara ini berbelas tahun lalu, jadi kalau nak kata cepat, pastinya terus selesai, jadi ia bukan disebabkan saya seorang selebriti.
“Cuma, saya rasakan perkara ini boleh menjadi lambat kerana mereka tidak pergi pada saluran yang betul.
“Kalau ikut langkah demi langkah, insya-ALLAH perkara ini boleh diselesaikan,” ujarnya.