Amang Seksual Dua Budak Perempuan Di PPS, Warga Emas Mengaku Tidak Bersalah

0
75
Foto: Utusan Malaysia

KUALA TERENGGANU, 30 November- Seorang warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan di pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mangsa banjir, minggu lepas.

Mohammed Rashid Rahmat, 61, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohammed Rashid didakwa melakukan perbuatan itu ke atas mangsa yang masing-masing berusia tujuh tahun empat bulan dan tujuh tahun lima bulan di pekarangan koridor PPS di sebuah sekolah rendah di daerah Kuala Nerus.

Kesalahan itu dilakukan antara pukul 6 petang hingga 8 malam pada 22 November lalu.

Tertuduh, yang tidak bekerja itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan agar melapor diri di Balai Polis Gong Badak setiap 1 hari bulan sehingga kes selesai serta tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sepanjang prosiding.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Nurul Najmi Adila Md Nasir.

Mahkamah menetapkan 31 Disember ini untuk sebutan semula kes.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here