KUALA LUMPUR : Penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz, 32, mengakui, lebih selesa mengelak membaca sebarang komen daripada warganet mengenai apa sahaja isu berbangkit yang membabitkan dirinya di media sosial.
Ini kerana, kata Aliff, dia sedar, sebagai seorang manusia biasa, dia juga adakalanya tidak mampu menepis emosi yang bercampur aduk dan berasa terganggu dengan kata-kata orang.
“Terus-terang, sejak saya sertai pertandingan All Stars Gegar Vaganza (ASGV), saya mencuba sedaya upaya untuk tidak membaca sebarang komen daripada netizen di media sosial.
“Saya buat begitu kerana mahu ketenangan fikiran dan fokus tentang apakah matlamat utama saya menyertai program realiti ini. Saya tak nak disebabkan terlalu sibuk baca komen, matlamat berubah kerana nak memuaskan hati semua orang.
“Sebab saya sedar, sebagai manusia, hati saya boleh berbolak-balik. Seribu jarum cucuk, mustahil tiada satu pun masuk. Lagipun, umi saya ada pesan, macam mana pun, kita tak mampu nak puaskan hati orang,”katanya.
Tambah Aliff, dia juga berbuat demikian kerana enggan ‘teracun’ dengan suasana toksik yang mungkin boleh mengganggu konsentrasinya, kongsi Utusan.
“Walaupun masing-masing (netizen) ada penyanyi yang digemari dalam program ini, tetapi kalau boleh wujudkan situasi lebih sihat dan positif.
“Tak mahulah berlaku perkara toksik seperti kecaman dan maki hamun antara satu sama lain. Bagi saya, perkara seperri ini tidak bagus,” katanya.
Menurut suami pelakon, Bella Astillah ini lagi, dia mengakui fikirannya kini semakin tenang selepas mengabaikan komen dilontarkan netizen.
“Sejujurnya saya rasa lebih aman dan tenteram. Ada yang mengatakan saya ‘koyak’ ekoran komen negatif. Saya tak nafikan kerana saya juga manusia biasa.
“Saya sudah berusaha habis baik dan melalui pelbagai cabaran, tetapi bila timbul komen negatif, ia akan buat saya rasa kurang dihargai. Maka saya fikir, tak perlu sakitkan hati sendiri dengan membaca komen seperti itu,”katanya.
Sumber: Utusan Malaysia