Aktif Curi Kenderaan Sekitar Kuantan, ‘Geng Mata-Mata’ Akhirnya Tumpas

0
43

KUANTAN, 27 November- Lima lelaki anggota ‘Geng Mat Mata’ yang dipercayai mempunyai kaitan dengan lapan kes curi kenderaan sejak bulan lalu di sekitar Kuantan akhirnya dicekup polis.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kelima-lima suspek merupakan penganggur yang berumur antara 22 tahun hingga 33 tahun yang berasal dari daerah Kuantan dan Pekan.

“Hasil siasatan awal polis mendapati geng tersebut menggunakan kenderaan jenis van untuk mencuri motosikal terbabit dan jumlah  kerugian kesemua kenderaan itu dianggarkan kia-kira RM40,000,”katanya.

Mengulas lanjut katanya, terdahulu hasil risikan dan perkongsian maklumat antara polis daerah Kuantan dan Pekan satu tangkapan telah dilakukan pada 22 November lalu.

“Tangkapan membabitkan seorang lelaki tempatan dikenali sebagai ‘Mat Mata’dipercayai ketua kumpulan tersebut.

“Suspek ditangkap di Perkampungan Batu 3, Jalan Kuantan–Gambang dan empat buah motosikal curi turut dirampas.

“Hasil soal siasat, tangkapan susulan berjaya  dibuat ke atas empat lagi lelaki di beberapa kawasan lain sekitar daerah Kuantan dan Pekan.

“Polis turut merampas sebuah van, sebuah kereta yang telah dibakar, sebuah motosikal dan masing-masing sebuah enjin dan rangka motosikal disyaki untuk dijual dan kegunaan sendiri,”menurut Wan Mohd Zahari.

Jelasnya, kesemua suspek mempunyai rekod lampau dalam kesalahan jenayah dan narkoti direman selama enam hari bermula 23 November lalu sehingga esok namun permohonan sambung reman akan dipohon semula untuk melengkapkan siasatan.

“Kelima-lima suspek disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri motosikal, Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki harta curi berkaitan kenderaan bermotor dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan berikutan membantu menyembunyikan harta curi berkaitan kenderaan bermotor,”katanya.

Terdahulu, ketua kumpulan tersebut yang  dikenali sebagai ‘Mat Mata’ pernah ditangkap oleh pihak polis pada Februari lalu atas kesalahan mencuri motosikal.

‘Mat Mata’ telah dikenakan hukuman penjara selama lapan bulan serta dikenakan pengawasan polis selama setahun di daerah Bachok, Kelantan bermula Oktober lalu hingga Oktober tahun hadapan namun satu laporan polis telah dibuat berikutan melarikan sebagai orang pengawasan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here