Akak MPP Deodoran ‘Menang Besar’, Bakal Agih Bermula Mac Depan

0
135

PETALING JAYA – Seorang mahasiswi yang merupakan calon Pilihan Raya Kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengejutkan ramai pihak apabila mengemukakan manifesto pemberian deodoran kepada pelajar yang berdepan masalah bau badan.

Meskipun mendapat kecaman dan ejekan orang ramai, Siti Nur Asyerra Wasli, 23, ternyata membuktikan kepercayaan penuntut UMS terhadap dirinya apabila berjaya menewaskan empat pesaing lain.

Ujar Siti Nur Asyerra atau mesra disapa Ara, idea manifesto tersebut lahir daripada pengalaman peribadi dirinya dan kawan-kawan yang berdepan masalah ketiadaan air di universiti.

Kata pelajar Program Pemasaran semester keenam ini, manifesto tersebut juga merupakan salah satu cara untuk menyampaikan maksud tersirat kepada beberapa pihak dan membina kesedaran kebersihan diri setiap individu.

“Pengalaman saya dan kawan-kawan sepanjang tiga tahun kami di UMS, bekalan air sentiasa tidak mencukupi. Jadi kebanyakan waktu, pelajar perlu minta kelas ‘online’ atau sanggup hadir ke kelas fizikal tanpa mandi.

“Sampai kalau yang duduk sebelah tu mesti akan kata ‘maaf ya kalau saya berbau, saya tak dapat mandi pagi tadi’. Tetapi ada juga yang usaha sampai menginap di hotel atau tumpang di rumah kawan untuk mandi.

“Memang sudah ada pelbagai usaha dari semua pihak untuk selesaikan masalah air. Tapi pemberian deodoran ini adalah penyelesaian percuma kepada semua pelajar yang berasa ‘insecure’,” katanya ketika dihubungi Kosmo!

Manifesto Siti Nur Asyerra yang sebelum ini tular di media sosial kerana dianggap unik dan lain daripada manifesto calon-calon lain.

Tambah Ara yang merupakan anak keempat daripada lima beradik, sebelum mengusulkan manifesto tersebut dia turut meminta pandangan orang ramai termasuk dekan fakultinya.

“Mula-mula saya pun teragak-agak sebab manifesto ni kedengaran lucu. Tetapi orang sekeliling sokong, saya teruskan juga. Sebab itulah saya gunakan tanda pagar #TidakLucuTapiFakta ketika berkempen.

“Kalau bina fasiliti, saya tidak mampu sebab banyak prosesnya. Dan saya tak mahu janjikan bulan bintang sampai akhir.

“Selalu orang kata pemimpin perlulah berwibawa dan berkualiti. Tapi lagi bermakna jika pemimpin yang mahu meletakkan dirinya di tempat rakyat, mahu merasai situasi rakyatnya,” katanya.

Dalam pada itu, anak kelahiran Ranau, Sabah ini berkata, setelah memenangi Pilihan Raya Kampus itu, dia didatangi beberapa penaja untuk menunaikan manifestonya itu.

Katanya, dia sedang dalam perancangan untuk memperhalusi proses pemberian deodoran kepada semua pelajar-pelajar UMS yang berdepan dengan masalah bau badan sekitar Mac depan.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here