PETALING JAYA – Penganjur konsert Kharisma Music International, Yuka Kharisma menuntut penyanyi Aisha Retno membayar semula wang sebanyak RM83,000 yang dipinjamkan bagi merealisasikan persembahan ketika Anugerah Juara Lagu (AJL) pada Mac lalu.
Katanya, konsert yang dibatalkan pada 16 November lalu sepatutnya menjadi kaedah pembayaran semula jumlah dipinjamkan kepada wanita berusia 24 tahun itu.
Namun, berikutan penjualan tiket yang tidak memberangsangkan itu hanya 98 tiket ditempah, Yuka berharap pihak Aisha dapat melunaskan baki pembayaran tunggakan sebanyak RM77,000 selepas membuat pembayaran RM6,000.
“Kami dengan rela hati meminjamkan RM83,000 untuk persembahannya di AJL dan setakat ini dia baru jelaskan RM6,000 pada Mei lalu.
“Kami tidak pernah menjanjikan tajaan malah saya mempunyai bukti melalui mesej langsung dan mesej suara.
“Kami hanya menaja perkhidmatan sebagai pengarah persembahan bukan wang dana,” katanya.
Dalam masa sama, Yuka turut memaklumkan pinjaman wang tersebut dibuat atas jalinan hubungan baik dengan pelantun lagu Sutera sebelum ini untuk membantu membuat persiapan semasa AJL pada Mac lalu.
“Pihak Aisha Retno (ARE) menyatakan bahawa mereka mempunyai kesukaran untuk mencari dana bagi persembahan Aisha pada AJL tersebut dan telah memohon bantuan daripada pihak Kharisma Music untuk merealisasikan persembahannya.
“Disebabkan hubungan baik antara pihak ARE dan Yuka Kharisma, maka Kharisma Music telah bersetuju untuk membantu pihak ARE dalam mencari dana diperlukan.
“Akibat kesuntukan masa dalam mengumpul dana, Kharisma Music telah bersetuju untuk memberikan pinjaman pendahuluan (advance) bagi memastikan segala persiapan dan persembahan Aisha di pentas akhir AJL lancar,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Kharisma Music International memaklumkan Konsert Malam Samudera Aisha Retno yang dijadualkan pada 16 November dibatalkan atas faktor jualan tiket.
Susulan pembatalan, Aisha meluahkan rasa kesal dengan tindakan penganjur membuat keputusan tanpa memaklumkan kepada dirinya terlebih dahulu.
Sumber – KOSMO! ONLINE