Monday, December 2, 2024
HomeBERITAAirAsia Tiba Di Sri Vijaya Puram, Tingkatkan Laluan Antarabangsa Ke Kepulauan Andaman...

AirAsia Tiba Di Sri Vijaya Puram, Tingkatkan Laluan Antarabangsa Ke Kepulauan Andaman Dan Nicobar

PORT BLAIR, 16 November 2024 – AirAsia hari ini telah memulakan penerbangan pertamanya dari Kuala Lumpur ke Sri Vijaya Puram, ibu kota Kepulauan Andaman dan Nicobar. Penerbangan ini telah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Veer Savarkar, menandakan permulaan enam penerbangan pergi balik mingguan yang menghubungkan kedua-dua destinasi tersebut.

Laluan baharu ini bukan sahaja membuktikan pengembangan AirAsia di India, malah menegaskan komitmen syarikat penerbangan ini untuk menawarkan perkhidmatan kepada pasaran masih belum diterokai dan memperkukuh kesalinghubungan serantau bagi memenuhi permintaan peningkatan perjalanan ke destinasi baharu seperti Sri Vijaya Puram, yang dahulunya dikenali sebagai Port Blair.

Malaysia dan India mempunyai potensi pelancongan yang luas dan belum diterokai sepenuhnya, dan AirAsia adalah satu-satunya syarikat penerbangan di Malaysia yang menawarkan penerbangan terus bagi laluan unik ini dengan tambnag berpatutan. Perkhidmatan baharu ini juga menandakan penerbangan paling singkat AirAsia antara Malaysia dan India, membolehkan para pengembara mengakses destinasi yang menarik ini dengan mudah.

Dato’ Kapten Fareh Mazputra, Pengarah Urusan AirAsia Malaysia berkata: “Ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan kami untuk memperkukuh kehadiran di India, salah satu pasaran terbesar dan paling berkembang bagi AirAsia. Visi dan misi kami adalah untuk terus meningkatkan kesalinghubungan dengan tambang berpatutan di seluruh Asia. Pelancaran laluan baharu ke Sri Vijaya Puram ini membolehkan kami menyokong sasaran kerajaan India untuk menarik lebih 10 juta pelancong asing menjelang akhir tahun ini, serta visi Pelancongan 2047 negara tersebut yang bertujuan meningkatkan kedatangan pelancong antarabangsa 10 kali ganda. Kami berbangga dapat menyumbang kepada kejayaan India sebagai salah satu destinasi utama di peringkat global.

“Selain itu, dengan lebih daripada 1,000 tempat duduk tersedia setiap minggu, perkhidmatan ini dijangka akan meningkatkan perjalanan serantau dan memudahkan penduduk tempatan untuk melancong ke luar negara. Kami teruja untuk menyambut kedatangan pelancong dari destinasi ini yang ingin melawat Kuala Lumpur dengan menawarkan sambungan mampu milik ke destinasi lain di Malaysia, Asia Tenggara dan destinasi menarik lain melalui rangkaian luas kami.”

Kepulauan Andaman dan Nicobar, terkenal dengan pantai indah, lagun jernih dan kehidupan marin menarik menjadikannya destinasi impian bagi penggemar pengembaraan dan pencinta alam semula jadi. Selain itu, kemudahan e-visa di Sri Vijaya Puram dijangka akan menarik lebih ramai pelancong asing ke kepulauan yang istimewa ini.

Dengan Kuala Lumpur sebagai hab utamanya, para pelancong India dari Sri Vijaya Puram dapat menikmati perjalanan lancar ke beberapa tarikan utama di Malaysia seperti keindahan bandaraya yang meriah di Kuala Lumpur, kepelbagaian budaya dan bangunan bersejarah termasuk seni bina unik di Melaka, yang merupakan tapak Warisan Dunia UNESCO, serta hutan tropika dan kepelbagaian hidupan liar di Sabah dan Sarawak.

Rangkaian AirAsia juga menawarkan laluan sambungan dengan tambang berpatutan, memudahkan penerokaan di Asia Tenggara, termasuk Indonesia, Thailand, dan Vietnam. Laluan baharu ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara India dan Malaysia, malah memudahkan perjalanan bagi pelancong India yang ingin menikmati keindahan dan budaya Malaysia sebagai sebahagian daripada pengembaraan Asia mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Fattah Amin Doakan Mangsa Banjir Di Tanah Suci

0
PETALING JAYA – Kesibukan melakukan ibadah umrah tidak membataskan pelakon Fattah Amin untuk menitipkan doa buat mangsa banjir di tanah air. Fattah atau nama sebenarnya...

CATEGORIES