SEPANG, 14 Mac 2024 – AirAsia X (AAX) meraikan penerbangan sulungnya ke Asia Tengah secara terus ke Almaty, Kazakhstan pada hari ini.
Pencapaian penuh bersejarah ini menandakan AAX sebagai syarikat penerbangan Asia Tenggara pertama yang menghubungkan laluan udara ke Almaty, pusat komersial dan budaya Kazakhstan.
Pelancaran laluan baharu ini membuktikan komitmen AAX dalam mengembangkan rangkaiannya secara strategik dan menawarkan akses kepada pasaran baharu.
Selain itu, ia memenuhi peningkatan permintaan untuk perjalanan yang lebih lancar dan berpatutan antara Asia Tenggara dan Asia Tengah.
Turut dihadiri oleh YB Tuan Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan Malaysia; Tuan Yang Terutama Bulat Sugurbayev, Duta Besar Republik Kazakhstan ke Malaysia; Datuk Kamarudin Meranun, Pengerusi Eksekutif Capital A; Benyamin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, dan wakil-wakil kenamaan serta tetamu kehormat lain.
“Penerbangan pertama AirAsia X ke Almaty, Kazakhstan merupakan pencapaian penting dalam industri penerbangan Malaysia.
Laluan baharu ini bukan sekadar meningkatkan kesalinghubungan tetapi membuktikan komitmen kita untuk menawarkan sistem pengangkutan udara bertaraf dunia.
Ia juga melambangkan dedikasi kita untuk menjadi hab penerbangan peringkat global dan memperkukuhkan hubungan budaya dan ekonomi antara Kazakhstan dan Malaysia,” kata Menteri Pengangkutan, YB Tuan Loke Siew Fook.
Dalam masa yang sama, Pengerusi Eksekutif Capital A, Datuk Kamarudin Meranun berbesar hati untuk meraikan laluan baharu pertama AirAsia X ke Almaty, Kazakhstan yang melambangkan komitmen syarikat penerbangan ini untuk memperkukuh hubungan ekonomi dan diplomatik antara Malaysia dan Kazakhstan, sempena sambutan ulang tahun ke-32 pada tahun 2024.
Dengan kerjasama dalam sektor perdagangan dua hala yang mencapai puluhan juta dolar AS antara kedua-dua negara, potensi untuk kerjasama dalam pelbagai sektor termasuk industri pelancongan kini lebih luas.
“Pelancaran penerbangan terus ke Almaty pada hari ini dengan faktor muatan yang menakjubkan hampir seratus peratus menandakan satu lonjakan penting bagi AirAsia X untuk menerokai pasaran Asia Tengah.
Kami yakin kemasukan ke pasaran Kazakhstan bukan sahaja akan meningkatkan sektor pelancongan antara kedua-dua buah negara malah akan merapatkan hubungan di peringkat serantau dengan menghubungkan penduduk negara terbesar di Asia Tengah ke lebih 130 destinasi dari Kuala Lumpur,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail.
AirAsia X kini terbang ke Almaty dengan empat penerbangan mingguan dan menawarkan lebih daripada 95,000 tempat duduk setahun dengan tambang yang kompetitif bermula daripada RM599 atau USD169 termasuk semua sehala.
Tambang promosi ini boleh didapati untuk tempahan bermula dari 15 hingga 21 Mac 2024 untuk tempoh perjalanan mulai sekarang hingga 17 Jun 2025 di airasia.com dan AirAsia MOVE, sebelum ini dikenali sebagai airasia Superapp.
Sumber: Newsroom AirAsia