PHNOM PENH, 1 Mei 2024 – AirAsia hari ini mengumumkan permulaan syarikat penerbangannya yang ketujuh iaitu AirAsia Cambodia (kod penerbangan KT), menandakan langkah penting dalam landskap penerbangan negara ini dan memperkukuh Asean sebagai hab penerbangan dinamik.
AirAsia Cambodia akan memulakan operasinya pada hari Khamis, 2 Mei 2024, selepas menerima Sijil Pengendali Udara (AOC) pada hari Rabu. Syarikat penerbangan ini akan beroperasi dengan dua buah pesawat Airbus A320 dari hab di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh (PNH), menghubungkan para tetamu ke bandar ikonik Siem Reap, Sihanoukville dan seterusnya melalui hab di Kuala Lumpur dan Bangkok.
Permulaan syarikat penerbangan baharu ini merupakan pencapaian penting bagi Kumpulan AirAsia berikutan pengumuman strategi baharunya iaitu “ONE Airline” baru-baru ini. AirAsia Cambodia kini berada dalam kedudukan terbaik untuk memacu perjalanan udara tambang rendah di negara ini dan seterusnya dengan memanfaatkan kelebihan kumpulan dalam memacu kecemerlangan pelanggan dan operasi bagi pertumbuhan dan keuntungan berterusan.
Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A berkata: “Hari ini merupakan hari bersejarah bagi AirAsia di Cambodia, sebuah negara yang memberi kami inspirasi melalui sejarahnya. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Sekretariat Negara Penerbangan Awam (SSCA) Kemboja bagi penerimaan Sijil Pengendali Udara kepada AirAsia.
“Kemboja adalah sebuah negara yang kaya dengan pelbagai peluang dan memiliki potensi ekonomi yang besar berikutan kedudukan lokasinya yang strategik dalam rantau Asean. Trajektori pertumbuhan ekonomi Kemboja dan peningkatan integrasi ke dalam ekonomi global menjadikannya salah satu pemain utama dalam landskap pembangunan rantau ini.
“Pengembangan AirAsia ke Kemboja membuktikan pemahaman kami dalam pasaran Asean. Populasi dinamik Kemboja seramai 17 juta orang dan populasi belia yang semakin berkembang menawarkan pengguna lebih besar dan peluang untuk memenuhi permintaan perjalanan domestik di samping mendorong ekonomi. Dalam pada AirAsia Cambodia memulakan operasinya, kami teruja untuk memanfaatkan peluang ini dengan ekosistem yang lebih luas merentasi perniagaan Capital A. Daripada perniagaan digital seperti aplikasi tempahan penerbangan dalam talian AirAsia MOVE, teknologi kewangan BigPay, logistik Teleport hingga perkhidmatan Capital A Aviation Services Group termasuk penyedia perkhidmatan kejuruteraan Asia Digital Engineering, kami berharap untuk mengintegrasikan pelbagai perkhidmatan yang akan memperkukuh keupayaan kami untuk menawarkan perkhidmatan yang tiada tandingan kepada komuniti Asean.”
Vissoth Nam, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Cambodia berkata: “AirAsia mempunyai sejarah yang menarik di Kemboja dan kami berbesar hati untuk mencatatkan satu lagi pencapaian bukan sahaja untuk industri penerbangan di rantau ini tetapi juga untuk negara ini pada hari ini.
“AirAsia Cambodia adalah bukti kepada kecekapan dan dedikasi rakyat Kemboja yang memenuhi keperluan rakyat kita yang melangkaui pengangkutan. Sebagai sebuah syarikat tempatan, kami komited untuk memperkukuh komuniti, memperkasa usahawan dan memupuk pertumbuhan ekonomi melalui impak perjalanan udara dalam pelbagai sektor yang berkaitan.
“Kesalinghubungan udara yang dipertingkatkan juga telah menyumbang kepada pertumbuhan yang stabil kepada industri pelancongan Asean yang meningkat pada kadar purata tahunan hampir 10 peratus sedekad yang lalu. Dengan pelancaran AirAsia Cambodia, kami bersedia untuk terus meningkatkan pertumbuhan ini di samping menawarkan peluang baharu untuk berjuta-juta rakyat Kemboja dengan tambang berpatutan dan perkhidmatan terbaik dunia.
“Kami juga berbangga dengan sokongan yang dinyatakan oleh Samdech Thipadei Hun Manet, Perdana Menteri Kemboja baru-baru ini untuk penubuhan syarikat penerbangan ini sekaligus mengesahkan komitmen kami untuk menawarkan pilihan perjalanan boleh diakses oleh rakyat Kemboja. Dengan sokongan beliau, kami yakin dengan kemampuan kami untuk menghubungkan komuniti, memacu pertukaran ekonomi dan memupuk hubungan budaya di seluruh rantau ini. Sokongan beliau juga memperkukuh lagi tekad kami untuk mendorong perubahan positif dan kemakmuran di Asean dan seterusnya, bermula dengan Kemboja.”
Sebagai sebuah kumpulan, AirAsia kini mengendalikan enam laluan ke Kemboja dari Kuala Lumpur dan Bangkok dan telah menerbangkan 1.3 juta para tetamu ke negara ini. AirAsia Cambodia akan mengumumkan pelancaran destinasi antarabangsanya pada suku tahun berikutnya selepas penilaian teliti terhadap permintaan dan dinamik pasaran.
Sumber: AirAsia
This is a topic that’s near to my heart… Thank you!
Exactly where are your contact details though?