Air Balang Tidak Laku Musim Hujan, Jualan Bergantung Kepada Cuaca

0
159
Foto: Air Balang

PETALING JAYA – Peniaga air balang di sekitar Lembah Klang mengakui perniagaan mereka terjejas teruk kerana kekurangan pembeli berikutan musim hujan yang melanda pada masa ini.
Rata-rata mereka mengatakan terpaksa menanggung kerugian jualan sebanyak 50 peratus berbanding ketika cuaca baik sebelum ini.

Seorang peniaga air balang di kawasan Masjid Jamek, Kuala Lumpur, Laila Suriaty Mohd. Nor, 46, berkata, sebelum ini dia boleh menjual sehingga 15 balang sehari, tetapi kini hanya dapat menghabiskan lima ­balang sahaja.

“Keadaan ini memberi ‘tamparan’ hebat kepada bisnes memandangkan harga barangan keperluan meningkat pada masa ini.

“Kami memang terkesan ­sangat. Sebagai peniaga air ­balang, kami sangat bergantung pada cuaca. Kebiasaannya, jika air balang tidak habis dijual, ia akan dibuang.

“Keesokan harinya, kami terpaksa keluarkan duit sendiri untuk membeli barang modal. Itu yang membuatkan kami bertambah rugi,” kongsinya kepada Kosmo! di sini semalam.

Tambahnya, dia kini mempromosikan lebihan jualan yang tidak habis di media sosial terutama di Facebook sebagai inisiatif menghabiskan jualannya.

Seorang lagi peniaga air ­balang di Taman Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur yang hanya mahu dikenali sebagai Kamal, 50, mengambil langkah mengurangkan jumlah jualan sebagai langkah meminimumkan kerugian ketika musim hujan.

“Ketika musim hujan seperti sekarang, kami kurangkan kadar air balang kepada separuh dan bancuh lagi jika ia habis.

“Kadang-kadang, jika air yang dijual tidak habis, kami terpaksa mengurangkan harganya hanya untuk menjual habis jualan pada hari berkenaan,” katanya.

Menurutnya, biarpun berhadapan dengan situasi sukar ketika ini, namun dia tetap ­bersyukur dan reda dengan apa yang berlaku.

Seorang peniaga air balang di Shah Alam, Selangor, Safiah Mohd Yusof, 39, pula berkata, dia bersyukur kerana menerima bantuan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi membantu peniaga kecil sepertinya ketika jualannya berkurangan ketika ini.

“Sekarang musim hujan, tiada apa yang saya dan suami boleh harap.

“Itupun nasib baik saya dan suami menerima bantuan FAMA Selangor untuk membantu peniaga kecil seperti saya.

“Kalau hendak harapkan perniagaan air balang pada ketika ini, memang tidak cukuplah,” ujarnya.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here