Aidid Marcelo Syukur Anak Sulung Berjaya Hafaz 30 Juzuk Al-Quran

0
72

KUALA LUMPUR : Selebriti dan bekas pengacara, Aidid Marcelo dan isteri, Norzie Pak Wan Chek berkongsi rasa sebak apabila anak sulungnya, Muhammad Iman berjaya bergelar seorang hafiz.

Ini menerusi kejayaannya menghafal 30 juzuk Al-Quran dalam tempoh 11 bulan di Akademi Al-Quran Amalilah (AKMAL).

Dalam satu hantaran di Instagram, Aidid meluahkan rasa terharu kerana pada masa yang sama anak sulungnya itu turut menerima anugerah khas dalam satu majlis yang diadakan di akademi tersebut.

“Alhamdulillah. Terima kasih Allah. Bagi kami sebagai ayah dan ibu, tak ada apa lagi hadiah yang lebih berharga jika nak dibandingkan dengan apa yang Iman berikan kepada kami ini.

“Terima kasih Iman kerana menjadi anak yang taat dan berjaya mengharungi pelbagai ujian dan cabaran sepanjang proses hafazan ni.

“Sebagai ayah, tiada yang lebih bermakna daripada melihat zuriatnya berjaya,”katanya.

Selain itu, Aidid turut menitipkan doa supaya anaknya menjadikan al-Quran sebagai sahabat terbaik.

“Semoga Iman terus berjaya dan jadikan Al-Quran sebagai sahabat terbaik sehingga ke penghujung usia. Jangan lupa daddy dan mummy ya bila kami dah tiada nanti.

“Ingat, Iman anak sulung lelaki kami. Bacaan Quran dan doa anak yang soleh sahaja yang mampu membantu kami kelak. Daddy dan mummy tulis di sini bukan untuk riak tetapi sebagai tempat untuk Iman baca kembali dan insya-Allah menjadi peringatan untuk anak cucu Iman nanti, insya-Allah,” ujarnya.

Tidak cuma itu, Aidid meluahkan rasa gembira kerana pengorbanan mereka suami isteri membuahkan hasil.

“Doakan juga kepada maka ayah lain yang sedang berhempas pulas dengan anak sedang habiskan Al-Quran, untuk terus sabar dan semoga anak kita semua sayang Al-Quran sampai mereka dijemput Ilahi, insya-Allah.

“Maafkan saya kalau ada silap kata dan bahasa, sekadar ingin luahkan rasa gembira setelah pengorbanan selama ini membuahkan hasil,”katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif AKMAL, Mohd Saifullah Hussin berkata, Akademi Al Quran Amalillah mengambil pelajar seawal usia 10 tahun menggunakan kaedah ‘fast track‘ bagi hafazan 30 juzuk Al Quran dengan sasaran hafiz dalam tempoh setahun.

Modul ini dicipta bagi menyelesaikan masalah anak-anak yang mengambil masa terlalu lama menghafaz Al Quran disamping membantu ibu bapa yang mempunyai perancangan melanjutkan pengajian anak-anak ke peringkat lebih tinggi.

“Dengan mengaplikasikan strategi program Speed Tahfiz, Modul AKMAL menyajikan pendekatan yang unik dengan mengintegrasikan sistem hafalan, dorongan motivasi harian, kajian pelajar yang berfokus, dan pengurusan psikologi.

“Impian AKMAL, ingin melihat, para pelajar menjadi hafiz 30 juzuk Al Quran di usia muda sebelum mereka melangkah ke peringkat menengah,”katanya.

Mohd Saifullah turut menjelaskan, AKMAL bakal menaik taraf akademi pengajiannya dengan menubuhkan kolej pengajian Al Quran yang menawarkan pengajian peringkat diploma pada tahun 2025.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here