Kuala Lumpur : Pengarah filem terkenal, Dr Ahmad Idham meminta pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) untuk mengawal lambakan filem dari luar terutama dari Indonesia untuk memasuki pawagam di negara ini.
Menurut Dr Ahmad Idham atau nama sebenarnya, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri, 52, tayangan filem luar yang sama genre dengan filem tempatan pada bulan sama di pawagam seolah-olah mahu ‘membunuh’ industri perfileman tanah air.
Katanya, dia tidak menghalang kemasukan filem luar kerana negara kita mengamalkan dasar ekonomi terbuka tetapi sekurang-kurangnya filem kita tidak bersaing dengan filem luar dari genre yang sama.
“Saya berasa kesal, filem genre seram arahan saya, Anak Perjanjian Syaitan 2 juga terpaksa bersaing dengan dua filem genre seram dari Indonesia yang ditayangkan di pawagam, baru-baru ini.
“Mujur, satu dari filem genre seram dari Indonesia itu sudah diharamkan dan saya juga terfikir adakah mereka mahu ‘bunuh’ filem tempatan?,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas isu itu lagi, kata Ahmad Idham yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Finas, pihak pawagam masih boleh menayangkan filem luar yang bukan genre sama dengan karya tempatan, contohnya, genre cinta dan sebagainya.
“Ini tanahair kita, Tanah Melayu tapi kenapa orang kita seolah-olah mahu ‘bunuh’ filem sendiri? Kalau filem kita teruk takpa lah tapi filem kita juga ada kualiti yang lebih hebat dari filem luar.
“Kalau saya sebagai CEO Finas, saya tidak akan benarkan perkara itu berlaku,” katanya.
Sehubungan itu, kata Dr Ahmad Idham, dia berharap pihak Finas akan mengangkat dan membincangkan isu itu dengan lebih serius dengan pihak berkaitan untuk mencari penyelesaian.
Katanya, ia membabitkan perbincangan bersama pihak Finas, Lembaga Penapisan Filem, pawagam dan penerbit.
“Saya sedih tiada badan seperti Finas untuk mengangkat isu ini dengan lebih serius.
“Kita ada agensi kerajaan berkaitan tapi
masih tidak peka untuk membantu atau beri ruang kepada filem tempatan untuk dapat kemudahan sebaik mungkin,” katanya.
Sumber: Harian Metro