PETALING JAYA – Kemeriahan Majlis Persantapan Diraja Pengantin Diraja Brunei, Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah dan Dayang Anisha Rosnah yang berlangsung malam semalam memukau perhatian seluruh dunia.
Namun yang paling mencuri tumpuan adalah sebuah video yang dimuat naik di aplikasi X memaparkan beberapa kerabat diraja sedang menari Tarian Poco-Poco.
Di dalam video itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Raja dan Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kelihatan bersahaja menyertai tarian itu.
Selain itu, kelihatan Pengiran Muda ‘Abdul Mateen turut ‘sporting’ menari bersama para tetamu yang hadir bagi meraikan pasangan mempelai sejoli itu.
Turut kelihatan menari bersama ialah suami kepada Yang Amat Mulia Tunku Tun Aminah iaitu Datuk Dennis Muhammad Abdullah.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai terhibur melihat gelagat bersahaja kerabat diraja menari Tarian Poco-Poco serta turut memuji kelincahan Seri Paduka Baginda dalam mengikut rentak lagu.
“Kelakar lah tengok. Putera Mateen muka serius menari Poco-Poco. Tapi Agong dan Raja Permaisuri Agong kekal ‘cute’,” komen Ainalisya.
“Brunei pun ada Poco-Poco ya. Tak sangka kerabat diraja pun boleh menari tarian ni bersama. ‘Sporting’ habis,” komen Hassan pula.
Usai Majlis Persantapan Diraja semalam, pasangan mempelai tersebut bakal menghadiri Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-Jaga yang dijadualkan berlangsung hari ini.
Untuk rekod, istiadat perkahwinan pasangan diraja itu berlangsung selama 10 hari dimulai dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja pada 7 Januari lalu.
Terdahulu, Putera Mateen dan Dayang Anisha selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz dalam Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja sekitar jam 2.17 petang, Khamis lalu.
Majlis tersebut berlangsung dengan penuh istiadat Brunei di Masjid Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, dan turut berkenan disaksikan oleh Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah serta kaum kerabat diraja.
Sumber: Kosmo
Very interesting details you have mentioned, appreciate it for posting.Money from blog