Kuala Lumpur: Pelakon, Aeril Zafrel nekad menjual kereta mewah jenis Lamborghini Aventador miliknya yang bernilai RM2.27 juta dan mendermakan sebahagian hasil jualan itu kepada Persatuan Cinta Gaza bagi membantu rakyat Palestin yang diserang regim Zionis ketika ini.
Menerusi perkongsian di Instagram Story, Aeril atau nama sebenarnya, Suhairil Sunari, 35, berkata, dia memutuskan untuk menjual kereta mewah yang dihadiahkan isterinya, Wawa Zainal setahun lalu itu kerana ia jarang digunakan.
“Selamat tinggal Lambo (Lamborghini). Jarang pakai kereta ini, jadi jual saja. Selamat tinggal kuning (panggilan untuk kereta). Insya-Allah sebahagian hasil jualan ini kita derma ke Palestin,” tulisnya.
Kereta mewah itu dihadiahkan Wawa kepada Aeril sebagai penghargaan selepas enam tahun menjalankan perniagaan.
Pada masa sama, Wawa turut memuat naik gambar kereta mewah itu di Instagram Story seolah-olah merestui tindakan suaminya itu.
“Akhirnya dia jual jugak. Wawa tak suka naik kereta ni rendah sangat. Pening kepala. So (Jadi) Aeril memang jarang gila bawa. Dua tahun bersama si kuning,” tulisnya.
Sementara itu, selain dari Persatuan Cinta Gaza, pasangan Aeril dan Wawa turut menghulurkan sumbangan kepada Tabung Bantuan Khas Palestin melalui yayasan milik, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Nurjiwa Foundation.
Sumber: Harian Metro