PETALING JAYA – Penyanyi Adira memohon ruang dan privasi berhubung krisis rumah tangganya dengan suami Datuk Red yang sekali lagi menuju jalan perceraian.
Adira, 32, atau nama sebenarnya, Siti Adira Suhaimi berkata, dia belum bersedia untuk memberi kenyataan kepada pihak media buat masa sekarang.
“Nanti sampai masa saya bagi kenyataan. Minta maaf sangat-sangat.
“Terima kasih kerana memahami dan memberi ruang buat saya pada waktu yang mencabar sekarang ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Hari ini, dunia hiburan tanah air dikejutkan dengan berita perceraian Adira dengan Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red.
Berdasarkan Kosmo, menurut peguam syarie mewakili Datuk Red iaitu Muhammad Akmal Amzan, dia mengesahkan punca wanita itu memfailkan perceraian adalah kerana tiada lagi persefahaman.
Bagaimanapun, anak guamnya tidak bersetuju dengan permohonan yang dibuat oleh Adira dan masih lagi mahu mempertahankan rumah tangga yang dibina bersama penyanyi tersebut.
“Saya tidak boleh mengulas panjang tentang perkara ini. Namun apa yang boleh saya kongsikan, punca Adira memfailkan perceraian adalah kerana tiada lagi persefahaman.
“Namun, anak guam saya (Datuk Red) tidak bersetuju dengan permohonan yang dibuat oleh isterinya kerana ingin menyelamatkan rumah tangga mereka,” katanya.
Sebutan kes yang berlangsung pagi tadi di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang, Selangor, adalah berkenaan proses bagi melantik wakil proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang diperintahkan sebelum ini.
Bagaimanapun, Datuk Red selaku defendan kes berkenaan gagal membawa wakil disebabkan calon berkenaan mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan.
Hakim Syarie Abdul Hadi Omar menangguhkan sebutan kes tersebut pada 18 Disember ini.
Pelantun lagu Ku Ada Kamu itu muncul di Mahkamah Syariah Gombak Barat, Rawang, pagi tadi.
Menurut Kosmo, kehadiran ibu kepada empat cahaya mata itu ditemani kakaknya Emma, selaku wakil bagi sesi Jawatankuasa Pendamai (JKP) susulan permohonan perceraian terhadap suaminya, Datuk Seri Adnan Abu pada 25 Oktober lalu.
Permohonan tersebut diajukan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat Rawang, Selangor bersandarkan Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.
Tindakan tersebut sekali gus menjadi permohonan kedua Adira selepas menfailkan tuntutan sama pada 1 April 2019 iaitu ketika hamil anak ketiga mereka.
Adira yang baru sahaja diumumkan sebagai naib juara program Famili Duo musim ketiga pada malam tadi menjadi isteri kedua kepada Datuk Red selepas mereka bernikah pada 3 Disember 2015 di Songkhla, Thailand.
Hasil perkahwinan bersama, pasangan itu dikurniakan empat orang cahaya matai aitu Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4 dan Ayob yang kini berusia setahun.
Sumber: Kosmo