PETALING JAYA – Pelakon Datin Elvina Mohamad menyifatkan wanita yang sanggup menggugat kebahagiaan rumah tangga orang demi kepentingan peribadi sebagai individu berfikiran singkat.
Ujar Elvina atau nama sebenarnya Norzalina Mohamad, 29, memang wujud segelintir wanita yang berfikiran pendek dan sanggup mengorbankan prinsip demi meraih kehidupan mewah dengan cara yang salah.
“Sebenarnya ada wanita yang fikir singkat. Nak hidup senang, nak mewah, cuma perlu ‘sondol’ suami orang.
“Tetapi, bila mereka melangkah ke alam perkahwinan, semua itu tak seindah yang disangka.
“Sampai sekarang usia perkahwinan saya sudah tujuh tahun dan macam-macam yang kami sudah lalui,” katanye menerusi video dalam TikTok.
Elvina, yang telah mendirikan rumah tangga selama tujuh tahun bersama suaminya, Datuk Mohd Haniff Borhan, berkongsi pengalaman hidup berumah tangga yang menuntut komitmen dan pengorbanan, jauh dari bayangan kehidupan mewah yang mudah.
Belajar berdikari, pelakon drama Takdir Yang Tertulis itu juga turut menitipkan nasihat buat kaum wanita agar memiliki kerjaya sendiri dan tidak bergantung sepenuhnya kepada suami untuk kelangsungan hidup.
“Saya rasa kalau nak duit, bekerja dan usaha sendiri. Walaupun pasangan kita kaya-raya, tak boleh bergantung sepenuhnya pada mereka.
“Sebab pada akhirnya kita sendiri yang kena tanggung, jadi sediakan payung sebelum hujan.
“Saya nasihatkan pada perempuan di luar sana, mereka perlu ada karier sendiri,” tegasnya.
Ibu kepada dua cahaya mata itu juga mendedahkan pernah menerima mesej-mesej pelik dalam media sosial sejak dahulu, termasuk daripada individu yang tidak menghormati status perkahwinannya.
“Walaupun saya dan suami kerap berkongsi mengenai kehidupan kami dalam media sosial, masih ada yang berani DM (direct message) dengan niat untuk mengganggu.
“Mereka tahu saya dah berkahwin, tapi sengaja buat-buat tak tahu. Sampai saya terpaksa sekat mereka kerana mesej-mesej itu mengganggu,” jelasnya.
Elvina Mohamad telah mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Datuk Mohd Haniff Borhan pada Mac 2018 lalu.
Hasil perkahwinan, mereka telah dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Karl Mateen dan Ean Maleeq.
Sumber – KOSMO! ONLINE.