Abang ‘Trauma’ Saksi Adik Dilanggar Van Sekolah Hingga Maut

0
53
Foto: Kosmo

JOHOR BAHRU – Abang kepada kanak-kanak perempuan yang maut dilanggar van sekolah, Muhammad Afieq Miqhael, 6, dikatakan mengalami trauma ekoran menyaksikan kejadian tersebut yang berlaku di Jalan Suria, Bandar Seri Alam, di sini semalam.

Menurut ibunya Karmin Kahil, 39, anak bongsunya itu, Nurhafizah Nuljin, 5, mula menaiki van berkenaan sejak awal tahun ini bersama abangnya kerana kedua-duanya belajar di sekolah yang sama di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Alam 2, di sini.

Katanya, Muhammad Afieq akan menangis setiap kali melihat gambar adiknya ataupun mendengar keluarga bercerita berkaitan kejadian yang meragut nyawa arwah.

“Arwah Nurhafizah dibedah siasat di Hospital Sultan Ismail (HSI) dan disahkan mengalami pendarahan dalaman di bahagian kepala dan urat di belakang leher juga terputus.

“Mungkin dia terseret dalam kejadian namun kami menyerah kepada polis bagi menjalankan siasatan dan tindakan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

Jelasnya, dia dan suami, Nuljin Delson, 41, yang merupakan juru kimpal menerima hakikat pemergian anaknya dengan hati yang berat.

“Pada perayaan Aidiladha baru-baru ini, saya ada membelikan baju baharu buat arwah dan dia kelihatan amat ceria memakai pakaian baharu itu.

“Dia pernah meminta saya membelikan tudung dan dia juga seorang yang rajin ke sekolah walaupun kesihatannya kurang baik,” katanya selepas jenazah arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Cahaya Masai, Pasir Gudang kira-kira pukul 6 petang semalam. – KOSMO! ONLINE

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here