Wednesday, November 4, 2026
HomeHIBURANShiha Zikir Harapkan Kesihatan Ibu Pulih, Hadiah Hari Jadi Paling Bermakna

Shiha Zikir Harapkan Kesihatan Ibu Pulih, Hadiah Hari Jadi Paling Bermakna

SHAH ALAM – Kesihatan ibu yang kembali pulih menjadi satu-satunya harapan penyanyi Shiha Zikir sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-39, semalam, sekali gus menjadi hadiah paling bermakna yang didambakan tahun ini.

Shiha, 38, berkata, doa itu tidak pernah putus dipanjatkan sejak kesihatan ibunya, Rohana Ibrahim, 68, mula merosot pada September lalu.

Katanya, setiap kali menerima pertanyaan atau titipan doa daripada peminat menerusi mesej peribadi (DM), harapan yang disuarakan tetap sama, iaitu mahu melihat ibunya kembali sihat seperti sediakala.

“Saya sebenarnya agak sentimental. Setiap kali orang bertanya atau menitipkan doa menerusi DM, saya selalu menyatakan perkara sama, iaitu hanya mengharapkan kesihatan ibu kembali seperti sediakala.

“Terima kasih atas doa. Saya cuma berharap tahun ini mak saya sihat seperti biasa. Itulah satu-satunya harapan saya untuk tahun ini,” katanya ditemui pada majlis pelancaran single dan muzik video Teruskanlah nyanyian artis di bawah naungan syarikat rakamannya, Shiha Zikir Empire, iaitu Hazreen Amreena, di Six In The City, di sini, hari ini.

Penyanyi lagu Kalam itu turut berdoa agar dirinya menjadi anak yang mampu membahagiakan ibu bapa, selain terus diberi kesempatan menjaga insan tersayang itu.

“Saya berdoa kepada Allah supaya menjadikan saya seorang anak dan manusia yang mampu menggembirakan orang lain, selain dapat menjaga mak sampai bila-bila.

“Jadi, saya sangat berharap mereka dapat selitkan doa buat mak saya supaya kembali sihat seperti biasa. Mak adalah sumber kekuatan utama saya,” katanya.

Mengimbas detik mengetahui keadaan kesihatan ibunya, Shiha mengakui berita yang disampaikan doktor memberi kesan mendalam kepada dirinya dan adik-beradik.

“Apabila doktor maklumkan mengenai penyakit mak, memang saya langsung tidak menyangka perkara itu boleh berlaku kepadanya. Situasi ini benar-benar menguji kekuatan mental kami sekeluarga.

“Sebaik mengetahui keputusan doktor, saya dan adik-beradik memang sangat terkesan. Namun, saya percaya anak-anak dan mak saling menjadi sumber kekuatan antara satu sama lain.

“Mak kuat kerana anak-anak, manakala saya pula kuat kerana mak,” katanya yang enggan memperincikan masalah kesihatan dialami ibunya.

Dalam pada itu, Shiha menyifatkan sikap positif ibunya sebagai antara faktor yang membantunya terus tabah menghadapi situasi sukar ketika ini.

“Kalau saya boleh jadi seperti sekarang, semuanya kerana mak seorang yang sangat positif.

“Kalau orang tahu keadaan sebenar, mungkin mereka akan terkejut melihat bagaimana mak mampu kekal positif dan kelihatan tenang.

“Saya sendiri tidak tahu, tetapi apa yang pasti, untuk hari jadi tahun ini, saya hanya mahu mak kembali sihat seperti biasa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shiha memperkenalkan Hazreen Amreena sebagai penyanyi baharu di bawah naungan Shiha Zikir Empire yang kini muncul dengan single berjudul Teruskanlah.

Lagu ciptaan sepenuhnya Shiha itu membawa mesej kepada pendengar agar terus kuat dan tabah mengharungi kehidupan.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Jangan Menyombong, Mungkin Itu Rahsianya – Ella

0
KUALA LUMPUR – Empat dekad penuh gemilang, Ratu Rock Negara Ella mengakui tiada formula khusus untuk mengekalkan populariti atau terus relevan dalam industri hiburan...

CATEGORIES