KUALA LUMPUR – Pengacara dan penghibur serba boleh, Helmi Gimmick, 65, bersyukur selepas disahkan bebas kanser susulan pembedahan membuang buah pinggang kirinya.
Helmi atau nama sebenar, Helmi Harun berkata, pengalaman berdepan kanser tahap empat banyak mengajarnya mengenai kesihatan, ibadat dan kepentingan mengubah gaya hidup.
“Iya, sudah ‘clear’. Doktor sudah sahkan saya bebas kanser… Alhamdulillah,” katanya ketika ditemui pada sidang media Karyawan Hi Tea di sini, baru-baru ini.
Berkongsi pengalaman, Helmi berkata, menjadi pesakit kanser membuka matanya untuk melakukan muhasabah diri terutama dalam soal ibadat yang sebelum ini sering ditangguhkan kerana tuntutan kerja.
“Apabila berlaku semua ini, pertamanya saya muhasabah dirik. Banyak silap saya. Apabila berada dalam dunia seni, kita banyak leka. Saya selalu kata, nanti dahulu, tangguh dahulu.
“Saya sangat tersentuh apabila anak saya ingatkan mengenai muhasabah. Dia cakap, Papa ingat tak adik cakap dengan Papa, jom kita pergi umrah? Apa Papa cakap? Papa tidak ada masa.
“Ada juga tawaran untuk pergi umrah, tetapi saya tolak kerana ada persembahan. Sekarang saya fikir semula, kenapa saya tangguhkan? Saya meremehkan perkara yang sepatutnya saya buat.
“Sampai bila saya nak buat persembahan? Anak saya kata, saya sudah buat persembahan selama 40 tahun,” katanya.
Justeru, Helmi merancang menunaikan umrah, Mac tahun depan selepas anak-anaknya menetapkan tarikh berkenaan.
“Anak-anak saya sudah tetapkan Mac untuk pergi umrah. Dahulu banyak perkara saya tangguhkan. Tangguhkan ibadat, sekejap nanti, balik nanti buat.
“Balasannya itulah, balasan di sudut yang kita tak nampak. Tapi ada juga nikmat yang Allah bagi. Sakit ini pun nikmat. Allah masih beri saya peluang. Itu yang saya bersyukur,” katanya.
Pengalaman dirawat selama dua bulan di wad turut mengajar Helmi supaya tidak lagi mengambil mudah soal kesihatan dan ibadat kerana tidak ada siapa yang tahu bila ajal akan tiba.
“Dua bulan dalam wad, Allah bagi pengajaran. Pertama, jangan lengah-lengahkan ibadath. Kita tidak tahu. Tahun depan belum tentu, minggu depan pun belum tentu,” katanya.
Dalam pada itu, Helmi mendedahkan ketumbuhan yang dibuang ketika pembedahan pada buah pinggang kirinya mempunyai berat kira-kira lima kilogram (kg).
“Doktor cakap kepada saya, kanser saya sangat teruk. Apabila doktor keluarkan ketumbuhan pada buah pinggang saya, kalau awak tengok mungkin pengsan… Berat lima kg. Macam tak masuk akal, tapi ia benar. Doktor tunjuk kepada saya.
“Sebenarnya saya sudah alami benda ini sejak tiga tahun lalu. Saya tahan dan terus bekerja kerana ketika itu saya fikir, persembahan perlu diteruskan,” katanya.
Susulan pengalaman itu, Helmi kini lebih menitikberatkan pemakanan bagi menjaga kesihatan dan mengurangkan risiko penyakit kembali.
“Sekarang saya jaga makan. Minuman manis saya berhenti, makanan berlemak, minuman bergas dan berwarna juga saya berhenti ambil.
“Saya minum air putih dan air suam. Saya ambil makanan yang segar dan cuba elak makanan dalam tin, makanan diproses serta makanan segera.
“Dahulu saya tak suka minum air putih sebab bagi saya tawar. Sekarang saya tahu badan perlukan air untuk berfungsi dengan baik,” katanya yang turut mengubah rutin tidur bagi mendapatkan rehat secukupnya.
Bagaimanapun, Helmi masih perlu menjalani rawatan susulan dan mengambil ubat yang diberikan doktor.
Helmi disahkan menghidap kanser buah pinggang tahap empat dan menjalani pembedahan membuang buah pinggang kiri di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah pada 1 Januari lalu.
Sumber – Berita Harian





