PUTRAJAYA – Kekayaan budaya dan kepelbagaian masyarakat Malaysia terus diserlahkan menerusi Colours of Parade yang menghimpunkan kira-kira 1,500 penari dan penghibur dari seluruh negara di IOI City Mall Putrajaya, malam tadi.
Acara berkenaan menjadi kemuncak Citrawarna Speed Festival 2026 anjuran Tourism Malaysia yang berlangsung selama 12 hari, bermula 23 September hingga 4 Oktober 2026.
Colours of Parade menampilkan persembahan yang mewakili tradisi masyarakat dari wilayah Utara, Tengah, Selatan dan Pantai Timur, selain Sabah dan Sarawak.
Perarakan itu mengetengahkan gabungan muzik tradisional, tarian, peragaan busana berwarna-warni serta ekspresi seni yang menggambarkan keunikan warisan setiap wilayah.
Turut dipersembahkan ialah kebudayaan masyarakat Orang Asli, Cina, India, Sikh dan Siam, selain persembahan perkusi serta pasukan pancaragam Nusantara.
Kepelbagaian persembahan tersebut menjadikan Colours of Parade bukan sekadar acara kebudayaan, malah menghimpunkan pelbagai komuniti dan budaya dalam satu pentas.
Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man.
Selain acara kemuncak itu, Citrawarna Speed Festival 2026 turut menawarkan pelbagai aktiviti kebudayaan kepada pengunjung menerusi persembahan secara langsung, aktiviti seni dan kraf tangan serta pengalaman interaktif.
Menerusi Colours of Art & Culture, sebanyak 14 reruai interaktif disediakan bagi mempamerkan hasil kraf tangan, seni warisan dan demonstrasi kebudayaan secara langsung.
Festival itu turut diperluaskan ke Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Hotel Sama-Sama KLIA bagi memberi peluang kepada pelawat antarabangsa serta tetamu hotel menikmati persembahan dan aktiviti kebudayaan Malaysia.
Penganjuran festival tersebut turut menggabungkan elemen seni dan budaya Malaysia dengan tarikan berinspirasikan sukan permotoran serta pelbagai pengalaman interaktif sebagai sebahagian daripada usaha menyokong Kempen Melawat Malaysia 2026–2027 (VM2026–2027).
Dalam pada itu, sektor pelancongan negara mencatatkan 28.8 juta ketibaan pelawat antarabangsa bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, meningkat 1.8 peratus berbanding 28.2 juta dalam tempoh sama pada 2025.
Pelancongan domestik pula merekodkan 151.6 juta pergerakan pelawat bagi separuh pertama 2026, meningkat 5.6 peratus berbanding 143.5 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Sebagai acara penutup festival pada 4 Oktober, pengunjung turut berpeluang menyaksikan Pengaktifan Lamborghini khas di IOI City Mall Putrajaya yang menghimpunkan kira-kira 100 buah kenderaan Lamborghini.
Pengaktifan berkenaan melengkapkan konsep Citrawarna Speed Festival 2026 yang menggabungkan warisan budaya dengan elemen sukan permotoran, sekali gus mengetengahkan kepelbagaian pengalaman yang ditawarkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan.





