KUALA LUMPUR – Usahawan dan pelakon Betty Banafe, 46, tidak menafikan kemelut rumah tangganya bersama bekas suami memberikan tekanan kepada dua anak mereka, Julia Claire Dargus, 13, dan Bruce Dean Dargus, 10.
Susulan pertelagahan keluarga yang tular, April lalu, Betty mengambil langkah mendapatkan bantuan pakar psikiatri dan psikologi kanak-kanak bagi memastikan kesihatan mental kedua-dua anaknya terpelihara.
Tambah Betty, sejak mereka berpisah pada 2019, anak-anaknya turut terkesan apabila terpaksa berdepan dengan pelbagai tindakan undang-undang yang difailkan bekas suaminya.
“Kes ini bukan sahaja menyusahkan ibu tunggal, malah memberi kesan kepada anak-anak kerana mereka boleh mengalami masalah psikologi.
“Saya terpaksa membawa mereka berjumpa doktor pakar psikiatri dan psikologi. Mereka juga pernah diberikan ubat berkaitan tekanan, tetapi kini sudah berhenti mengambilnya.
“Itu sebab saya masukkan anak ke sekolah tahfiz. Apabila berada di sana, mereka lebih tenang dan mula terima hakikat bahawa ibu dan bapanya sudah bercerai,” katanya.
Sebelum ini, video dimuat naik Betty yang memaparkan kehadiran bekas suami bersama keluarga, peguam dan polis bagi mengambil anak-anak mereka tular di media sosial.
Situasi itu mendapat perhatian apabila kedua-dua anak mereka dilapor enggan mengikut bapa.
Betty yang mendirikan rumah tangga pada 2012 dan bercerai pada 10 Julai 2019, berkata, anak-anak tidak sepatutnya menjadi mangsa konflik antara orang dewasa.
“Sebagai ibu bapa, kita jangan bebankan pemikiran anak. Kita perlu yakinkan mereka bahawa kita sayang dan sentiasa mahukan yang terbaik untuk mereka.
“Kita sepatutnya beri cinta, bukan masalah kepada anak-anak. Apabila mereka terbeban dengan masalah orang dewasa, ia boleh memberi kesan kepada psikologi mereka.
“Mereka mungkin menjadi pemarah, pembuli atau menjadi mangsa buli kerana menyimpan dendam dan trauma zaman kanak-kanak yang belum diselesaikan,” katanya.
Betty berkata, kehidupan di sekolah tahfiz sedikit sebanyak membantu anak-anaknya mencari ketenangan menerusi pembelajaran al-Quran.
“Mereka belajar al-Quran dan itu yang membuatkan anak saya lebih tenang,” katanya.
Dalam pada itu, Betty mengakui aktiviti kebajikan turut menjadi terapi buat dirinya dalam berdepan kemelut kehidupan.
Tambahnya, dengan mengalihkan perhatian kepada perkara positif, dia bukan sahaja dapat mengurangkan tekanan, malah berpeluang membantu golongan yang memerlukan.
“Kerja kebajikan ini terapi buat saya. Saya alihkan masalah dengan buat perkara ini dan pada masa sama dapat bantu ramai golongan memerlukan, termasuk saudara kita, Murali Abdullah,” katanya.
Betty ditemui pada Program Ziarah Seni Madani bersama pengarah, Murali Abdullah, di restoran miliknya, Restoran Benafee, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, Selasa lalu.
Sebelum ini, Betty menerusi media sosial merayu keprihatinan masyarakat, khususnya penggiat seni tanah air, untuk menghulurkan bantuan kewangan kepada Murali yang sedang menjalani proses pemulihan selepas diserang strok dan mengalami masalah jantung kronik.
Betty turut berkongsi butiran akaun bank Murali bagi memudahkan orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan.
Sumber – Berita Harian





