Tuesday, September 30, 2025
HomeBERITAPendakwaan Bersedia Rayuan Terhadap Pembebasan Syed Saddiq

Pendakwaan Bersedia Rayuan Terhadap Pembebasan Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin menegaskan, pendakwaan sudah bersedia dalam rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Syed Saddiq dilepas dan dibebaskan pada 25 Jun lalu daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta, berkait kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).

Wan Shaharudin yang juga Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ketika dihubungi media, berkata arahan Ketua Hakim Negara ialah supaya pendengaran rayuan itu ditetapkan pada hujung November atau awal Disember.

“Pihak perayu bersedia dan telah bersedia dengan hujahan yang sudah pun siap. Bagaimanapun, peguam responden (Syed Saddiq yang diwakili Datuk Hisyam Teh Poh Teik) memohon tarikh pada bulan Januari yang mana tidak dipersetujui oleh mahkamah.

“Mahkamah kemudian meminta kedua-dua belah pihak, terutama responden untuk menulis surat kepada mahkamah. Macam pihak kami, kami telah bersedia sama ada Disember atau Januari.

“Mahkamah minta kami menulis surat dan akan menetapkan tarikh pengurusan kes yang baharu,” katanya selepas pengurusan kes rayuan berkenaan yang dijalankan melalui aplikasi Zoom di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Mahyun Yusof.

Pembelaan sedia pada akhir Januari depan

Sementara itu Hisyam selaku pihak responden ketika dihubungi media, mengesahkan perkara itu dan memberitahu, beliau memaklumkan kepada Timbalan Pendaftar, bahawa tarikh pendengaran rayuan yang sesuai bagi pihaknya ialah pada pertengahan hingga akhir bulan Januari.

Hisyam berkata, pihaknya diminta mahkamah untuk mengemukakan alasan dalam surat berkenaan, mengapa meminta tarikh pendengaran pada Januari.

Beliau berkata, responden juga diminta untuk memaklumkan kepada mahkamah, tarikh yang sesuai bagi pihaknya untuk prosiding rayuan terbabit. Katanya, surat itu akan dihantar kepada mahkamah hari ini.

Pada 22 September lalu, Pendakwa Raya selaku perayu memfailkan petisyen rayuan dengan mengemukakan 25 alasan mengapa Mahkamah Persekutuan sepatutnya mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan dan hukuman berkenaan.

Keputusan Mahkamah Rayuan itu diputuskan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin yang sebulat suara membenarkan rayuan Syed Saddiq.

Pendakwa Raya mohon sabitan oleh Mahkamah Tinggi dikekalkan

Sehubungan itu dalam petisyen rayuan berkenaan, Pendakwa Raya memohon kepada Mahkamah Persekutuan supaya keputusan Mahkamah Rayuan diketepikan dan perintah sabitan serta hukuman hukuman Mahkamah Tinggi sebelum ini terhadap responden dikembalikan.

Daripada 28 alasan melalui petisyen rayuan itu, 15 alasan berhubung pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan, sembilan alasan bagi tuduhan menyalahgunakan harta mengikut Seksyen 403 kanun sama dan empat bagi dua tuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram 2001.

Antara lain, Pendakwa Raya menyatakan hakim terkhilaf apabila membebaskan Syed Saddiq, sedangkan ia (pendakwaan) telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah bagi pertuduhan subahat.

Hakim Mahkamah Rayuan juga dikatakan terkhilaf apabila memutuskan tiada kes prima facie, sedangkan perayu telah membuktikan semua elemen kesalahan subahat dengan keterangan yang berwibawa.

Pendakwaan berkata, mahkamah turut terkhilaf apabila beranggapan sabitan pengubahan wang haram tidak boleh berdiri tanpa kesalahan predikat, sedangkan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 boleh berfungsi secara sendiri.

Mahkamah Rayuan bebaskan Syed Saddiq

Mahkamah Rayuan memutuskan Syed Saddiq tidak bersalah sekali gus menerima rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023 yang mensabitkan beliau.

Mahkamah itu mendapati pertuduhan dihadapi Syed Saddiq tidak berasas dan pendakwaan gagal membuktikan kesalahan bersubahat walaupun pada peringkat kes prima facie.

Menurut panel, tindakan menyuruh, mengarahkan, atau memerintahkan seseorang untuk mengeluarkan wang tidak boleh dianggap sebagai pelupusan wang dan perbuatan mengeluarkan wang itu sendiri tidak memenuhi elemen actus reus (perlakuan fizikal jenayah).

Sehubungan itu, panel mendapati sabitan yang dikenakan terhadap Syed Saddiq oleh Mahkamah Tinggi terhadap keempat-empat pertuduhan tidak selamat, selain mahkamah terdahulu tersalah arah dalam menjatuhkan hukuman itu.

Syed Saddiq didakwa subahat

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari ARMADA, Rafiq Hakim Razali, yang diamanahkan dengan dana ARMADA berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri, iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang berkenaan.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang adalah hasil daripada aktiviti haram.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Hafidz Roshdi Kecewa Hak Penjagaan Penuh Dua Anak Diberi Kepada Bekas...

0
SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi Syariah, di sini hari ini memerintahkan dua anak pelakon Hafidz Roshdi diberikan hadanah (hak penjagaan) penuh kepada bekas isterinya,...

CATEGORIES